Pharmaniaga lancar fasiliti sulung negara hasilkan insulin, vaksin

Pharmaniaga lancar fasiliti sulung negara hasilkan insulin, vaksin

Mohamed Khaled Nordin (tengah) melakukan ginik Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin di Pharmaniaga Life Science Sdn. Bhd. di Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Zulkifli Jafar (tiga kanan). - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Industri biofarmaseutikal mencapai satu kejayaan baharu menerusi penubuhan kilang biofarmaseutikal sulung negara oleh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dengan kerjasama Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Berhad.

Penubuhan fasiliti khas itu adalah untuk pengeluaran insulin dan juga vaksin yang tersenarai di dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pembukaan dan operasi fasiliti biofarmaseutikal yang berteknologi tinggi itu bukan sahaja mencatat sejarah sebagai syarikat tempatan pertama untuk mengilang insulin dan vaksin, malah akan membantu memperkukuh keterjaminan bekalan ubat-ubatan negara.

Jelasnya, pengalaman negara melanda wabak Covid-19 pada tahun sebelum ini memberi pengajaran terhadap kesiapsagaan negara dalam membekalkan perubatan seperti vaksin.

“Pengalaman tersebut memberi pengajaran besar, bahawa kita mesti serius dalam membangunkan kekuatan serta keupayaan negara dalam bidang kritikal seperti farmaseutikal.

“Jadi, apabila pihak Pharmaniaga memutuskan untuk mengembangkan keupayaan kilang ini sehingga ke tahap bertaraf antarabangsa seperti sekarang, sudah tentulah ia merupakan satu bentuk perkembangan yang membanggakan kita semua.

“Akan tetapi, kepentingan dan keperluan fasiliti ini tidak boleh hanya dilihat dalam konteks pandemik global atau penyakit berjangkit semata-mata. Sebaliknya, fungsi dan cakupannya adalah jauh lebih besar dan meluas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Fasiliti Pengilangan Insulin dan Vaksin di sini, hari ini.

Terdahulu, sejumlah kira-kira 4.4 juta rakyat Malaysia yang menghidap diabetes pada 2021 sekali gus memerlukan sejumlah 24.7 juta dos insulin setiap tahun dan dianggarkan bilangan akan terus bertambah mencecah 5 juta orang menjelang 2030.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, fasiliti khas itu juga bagi mengurangkan pergantungan kepada ubat-ubatan yang diimport selain memberi pulangan yang baik kepada pelabur.

“Ini sekali gus membebaskan kita daripada terperangkap dengan pelbagai eksploitasi oleh pemain-pemain utama di peringkat global.

“Usaha ini juga dapat memenuhi aspirasi Halatuju Pelan Pembangunan Vaksin Negara supaya Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar vaksin menjelang 2030 dan paling penting, ini semua adalah sebahagian daripada proses kita memastikan setiap satu entiti di dalam ekosistem pertahanan negara berprestasi tinggi dan memberikan pulangan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Zulkifli Jafar berkata, kilang dengan fasiliti canggih itu bersedia untuk memainkan peranan penting dalam mengukuhkan sektor penjagaan kesihatan Malaysia dengan mengurangkan pergantungan kepada biofarmaseutikal yang diimport, seperti insulin dan vaksin.

“Kemudahan ini bukan sahaja untuk memastikan kestabilan bekalan ubat dalam keadaan kritikal malah untuk menjamin masa depan bekalan ubat dalam negara.

“Kami juga berhasrat membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan negara kepada import, terutamanya untuk barangan kritikal seperti insulin dan vaksin bagi memupuk sistem penjagaan kesihatan yang lebih berdaya tahan dan meningkatkan akses orang ramai kepada ubat-ubatan,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN