Petronas mahu kekal rakan strategik Petros

Petronas mahu kekal rakan strategik Petros

TENGKU MUHAMMAD TAUFIK TENGKU AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) mahu meneruskan kerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) bagi membantu pertumbuhan kedua-dua syarikat berdasarkan persefahaman dalam kekuatan masing-masing.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, pihaknya mahu mewujudkan kerjasama strategik yang ‘menang-menang’ antara kedua-dua pihak.

Katanya, perbincangan antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat masih berlangsung.

“Saya tidak mahu mengulas lebih yang boleh menjejaskan proses rundingan ini. Cukup untuk mengatakan peranan Petronas adalah untuk bukan sahaja kepada syarikat tetapi juga kepada negara selama 50 tahun ini.

“Kami sentiasa bertindak demi kepentingan negara dan saya tidak boleh bertindak atau berunding secara sewenang-wenang tanpa mengambil kira implikasi kepada negara,” katanya pada sidang akhbar pengumuman keputusan separuh pertama 2024 Petronas di sini, semalam.

Terdahulu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, Petros akan mengambil alih peranan Petronas dalam semua aktiviti jual beli gas asli di Sarawak bermula 1 Julai 2024 hingga 1 Januari 2025.

Beliau berkata Petros dan Petronas juga bersetuju untuk menandatangani perjanjian definitif (Definitive Agreement), dengan Petronas mengambil maklum peranan Petros sebagai Pengagregat Gas Tunggal di bawah Ordinan Pengagihan Gas (Pindaan), 2023.

Bagaimanapun, perbincangan antara kedua-dua pihak mengenai kawal selia minyak dan gas di Sarawak sedang berlangsung dan perlu diselesaikan sebelum 1 Oktober ini.

Mengulas lanjut, Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas mempunyai mandat di bawah Akta Kemajuan Petroleum 1974 untuk memastikan sektor hiliran negara kekal rancak.

Jelasnya, tugas Petronas adalah untuk memaksimumkan nilai sumber hidrokarbon Malaysia dan menyumbang semula kepada negara serta meneruskan mandat yang diamanahkan.

“Kami mempunyai perkongsian yang lama. Saya tidak akan memanggilnya kontrak lagi. Ini adalah perkongsian dengan pasaran yang bergantung kepada kami untuk bekalan yang stabil dan selamat,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai sama ada dividen kepada kerajaan akan terjejas akibat daripada rundingan tersebut, beliau berkata, jika berlaku perubahan dalam susunan pentadbiran, ia akan memberi kesan kepada pendapatan.

“Kami melakukan pelaburan kami dan menunaikan kewajipan hutang kami. Sekiranya terdapat perubahan dalam susunan pentadbiran yang menyaksikan perpindahan nilai akan berlaku.

“Aliran tunai di Petronas inilah yang akhirnya menentukan kemampuan kami untuk pembayaran dividen.

“Saya fikir setakat ini implikasinya, keputusan bergantung kepada hasil rundingan yang masih berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, Petronas mencatatkan untung bersih sebanyak RM32.4 bilion bagi separuh pertama 2024, susut 19 peratus dari tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh penyatuan anak-anak syarikat dan cukai yang lebih tinggi dalam tempoh tersebut.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM171.7 bilion berbanding RM169 bilion dalam tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kesan daripada pertukaran asing.

Ini sebahagiannya diimbangi oleh harga realisasi purata yang lebih rendah, terutamanya untuk gas asli cecair (LNG) seiring dengan penurunan harga penanda aras.

Kumpulan merekodkan perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM64.1 bilion, lebih rendah sebanyak RM6.4 bilion atau sembilan peratus, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah.

Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) berjumlah RM54.8 bilion, penurunan sebanyak RM3 bilion atau lima peratus, sejajar dengan keuntungan yang lebih rendah yang dijana dalam tempoh tersebut.

Pelaburan modal (capex) berjumlah RM25.7 bilion terutamanya daripada aktiviti pembangunan dan penerokaan dalam perniagaan huluan dan capex domestik meningkat 18 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Jumlah aset meningkat kepada RM798.6 bilion pada 30 Jun 2024 berbanding RM773.3 bilion pada 31 Disember 2023, terutamanya disumbangkan oleh pelaburan modal dalam tempoh kewangan.

Ekuiti pemegang saham meningkat kepada RM443.9 bilion, terutamanya disebabkan oleh keuntungan yang dicatatkan dalam tempoh kewangan yang diimbangi sebahagiannya oleh dividen yang diisytiharkan kepada pemegang saham berjumlah RM32.0 bilion.

Tengku Muhammad Taufik berkata, Petronas mencatatkan prestasi yang membanggakan separuh pertama 2024, walaupun dalam keadaan ketidaktentuan pasaran dan kemelesetan ekonomi global.

“Sejak penubuhan, Petronas sudah menyuntik RM1.4 trilion ke dalam ekonomi negara melalui dividen, cukai dan pembayaran tunai.

“Petronas sudah berkembang menjadi pemain tenaga global dalam tempoh ini, Petronas akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan rakan usahasama yang berwawasan baik di dalam mahupun di luar negara.

“Kumpulan juga akan mempercepatkan penggunaan teknologi dan pelaksanaan Strategi Peralihan Tenaga kami untuk membuka jalan kepada pertumbuhan masa depan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya