PUTRAJAYA: Pejabat Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) akan menjalankan siasatan terperinci susulan insiden keselamatan siber ke atas infrastruktur teknologi maklumat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) baru-baru ini.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, siasatan itu bagi menentukan jenis pelanggaran dan mengenal pasti jenis data yang terlibat.
“Pejabat Pesuruhjaya PDP juga akan menyiasat sekiranya berlaku sebarang pelanggaran peruntukan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709] serta tindakan susulan yang perlu diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Infrastruktur teknologi maklumat Prasarana diserang perisian tebusan (ransomware) yang dimuat naik oleh kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai RansomHub dalam laman sesawang gelap pada 25 Ogos lalu.
Gobind berkata, Pejabat PDP dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada 26 Ogos lalu dan mengeluarkan arahan kepada pihak Prasarana untuk menghantar pelaporan Pemberitahuan Pelanggaran Data (DBN) selewat-lewatnya pada 29 Ogos lalu.
Katanya, pihak Prasarana telah melakukan tindakan tersebut.
“CyberSecurity Malaysia, salah satu agensi di bawah Kementerian Digital turut memberikan bantuan teknikal dalam proses penyiasatan ini,” katanya.
Beliau berkata, adalah amat penting untuk undang-undang bertindak mengikut haluannya apabila Pesuruhjaya PDP menerima notifikasi mengenai pelanggaran data.
“Kita mempunyai undang-undang yang menekankan agar kepentingan data peribadi dilindungi. Kita perlu tegas mengenai perkara ini.
“Pesuruhjaya akan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan siasatan terperinci dijalankan dan memastikan tindakan susulan diambil berdasarkan hasil siasatan,” katanya. – UTUSAN