PETALING JAYA: Majlis Kerja Tertinggi UMNO menemplak Menteri Belia dan Sukan berhubung kesuraman kejohanan Pesta Bola Merdeka 2024.
Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, jumlah negara yang menyertai kejohanan itu berkemungkinan membuatkan kementerian tersebut tidak berminat.
“Alamak betulkah Pesta Bola Merdeka mampu jual 1000 tiket sahaja. Cuma Filipina, Lebanon dan Tajikistan yang jadi peserta? Negeri dekat seberang tambak Singapura pun tidak mahu datang? Takut Menteri Belia dan Sukan pun tidak minat,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Selain itu, Puad Zarkashi berkata, beliau berharap Menteri Belia dan Sukan turut hadir ke final kejohanan itu selain memerli untuk memberikan tiket secara percuma.
“Diharap esok Menteri tengok final. Jangan pergi Paris sahaja tengok Olimpik 2024. Itu pun prestasi negara paling teruk. Satu emas pun tidak dapat.
“Elok final esok bagi tiket percuma dengan pesta bunga api. Tidaklah membazir dan ketirisan. Nanti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) siasat pula.
“Jangan tutup sambutan ‘Malaysia Madani Jiwa Merdeka’ dengan sedih dan kemalapan,” ujarnya.
Terdahulu, Ultras Malaya yang menjadi penyokong setia pasukan bola sepak kebangsaan mengumumkan bahawa mereka memboikot Pestabola Merdeka.
Difahamkan Ultras Malaya tidak berpuas hati dengan situasi semasa bola sepak negara sama ada di peringkat kelab mahupun negara. – UTUSAN