Pesta Air Kuala Perlis 2024 kembali gilang-gemilang

Pesta Air Kuala Perlis 2024 kembali gilang-gemilang

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) berkenan merasmikan Pesta Air Kuala Perlis 2024 di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Perlis. – MINGGUAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019 sebelum terpaksa dihentikan berikutan pandemik Covid-19, Pesta Air Kuala Perlis 2024 iaitu acara tradisi negeri ini kembali de­ngan lebih meriah sekali gus bakal merancakkan Tahun Me­lawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Pesta Air Kuala Perlis 2024 yang bermula 12 sehingga 15 September dengan majlis pe­rasmian disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail semalam, juga berlangsung meriah yang julung kali diadakan pada sebelah malam.

Berangkat sama pada majlis perasmian itu Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lai­latul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.

Menariknya, pentas sempena perasmian berkenaan disediakan di atas muara sungai Kuala Perlis yang dihiasi lampu-lampu di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Perlis.

Pesta Air Kuala Perlis 2024 yang bermula sejak 1961 atau lebih 60 tahun lalu itu dianjurkan kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Selain persembahan kebudayaan serta kesenian dan pertunjukan bunga api, majlis perasmian berkenaan juga diserikan dengan persembahan nyanyian oleh artis terkenal, Datuk Jamal Abdillah sebelum diakhiri dengan pertandingan perahu berhias.

Abu Bakar dalam ucapannya berkata, sebanyak 15 kampung menyertai pesta air kali ini selain enam agensi serta jabatan turut mengambil bahagian termasuk peserta dari negara jiran iaitu dari Puju, Thailand.

Katanya, setelah lima tahun pesta ini tidak dapat diadakan berikutan kekangan pandemik Covid-19, tahun ini penganjurannya dapat direalisasikan.

Ujarnya, antara acara yang dipertandingkan ialah perahu tradisi 12, perahu tradisi 14, perahu fiber 20 dan pertandingan perahu berhias selain beberapa pertandingan lain seperti panjat tiang licin, menjala ikan serta keceriaan kampung.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Perpaduan dan Integrasi Nasional serta seluruh jabatan peringkat negeri dan pusat yang memberikan sumbangan dan kerjasama menjayakan Pesta Air Kuala Perlis 2024 ini,” katanya.

“Selama hampir sebulan, yang mana setiap petang kami warga Kuala Perlis dari setiap kampung menjalani latihan dan persediaan di muara sungai Kuala Perlis ini,” katanya.

Sementara itu, Che Murad pula berkata, penganjuran Pesta Air Kuala Perlis adalah acara tradisional yang dilaksanakan sejak 1950-an dan kini dijadikan sebagai acara tahunan oleh masyarakat Kuala Perlis.

Bagaimanapun, katanya, Pesta Air Kuala Perlis dihentikan penganjuran pada tahun 2020 ekoran daripada penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika itu.

Katanya, dalam usaha membangunkan sektor pelancongan Perlis agar selari dengan hasrat menjayakan TMPs 2024/2024, kerajaan negeri melihat bahawa Pesta Air Kuala Perlis wajar dihidupkan semula memandangkan ia adalah salah satu produk pelancongan yang sangat diminati dan berupaya menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri ini.

“Kerajaan negeri yakin dan percaya bahawa penganjuran pesta air ini merupakan salah satu medium untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat khusus menarik minat generasi muda disamping memberikan kesedaran tentang kepentingan mengekalkan nilai warisan yang diperturunkan daripada satu generasi ke generasi yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN