KEMAMAN: Gara-gara mengelak sebuah patung penyu di atas lebuh raya, seorang
peserta Program Himpunan RX-Z Members 6.0 maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 270.1, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) dekat Perasing, di sini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi peserta program himpunan tersebut yang turut terlibat dalam kemalangan itu mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi, Mohamad Firdaus Abdul Rashid, 29, yang berasal dari Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan meninggal dunia di lokasi kejadian berikutan kecederaan di kepala.
Menurutnya, seorang lagi mangsa, Muhamad Shafiq Abdul Halim, 29, dari Bandar Baru Serting, Negeri Sembilan cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang untuk menerima rawatan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kedua-dua motosikal jenis Yamaha RX-Z yang ditunggang kedua-dua mangsa mengelak patung penyu yang berada di laluan sebelah kiri lebuh raya.
“Ketika mereka masing-masing mengelak patung itu, motosikal mereka bergesel dan terbabas,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.
Hayan menambah, difahamkan, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke kediaman masing-masing selepas menghadiri program himpunan RX-Z itu di Kuala Nerus.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN