Pesawat pejuang FA-50M dibina ikut jadual, dijangka dihantar 2026

Pesawat pejuang FA-50M dibina ikut jadual, dijangka dihantar 2026

MOHAMED Khaled (duduk) ketika meninjau progres pembinaan FA-50M di KAI, Jinju, Korea Selatan. - Foto oleh IHSAN KAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JINJU, KOREA SELATAN: Pembuatan sebanyak 18 unit pesawat pejuang ringan FA-50M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan dibuat mengikut garis masa ditetapkan di mana prosesnya kini telah mencecah sebanyak 39 peratus.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua pesawat pejuang ringan itu dibina mengikut perancangan, seterusnya dijangka mula dihantar ke Malaysia seperti ditetapkan pada 2026.

“Kita beli FA-50M pada tahun lepas dan saya telah datang sendiri ke kilang pembuatannya di Korea Selatan untuk melihat progres kemajuannya, selain melihat apa kelebihan yang ada pada pesawat itu.

“Saya berpendapat 18 buah pesawat itu sudah cukup untuk satu skuadron TUDM,” katanya selepas membuat lawatan rasmi ke Industri Aeroangkasa Korea (KAI) dan Syarikat Aeroangkasa Hanwha, di sini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pembelian pesawat pejuang ringan FA-50M merupakan salah satu perancangan di dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Oleh itu, kita memang perlu menambah aset udara kerana ruang udara angkasa kita luas dan memerlukan angkatan udara berkesan dalam melaksanakan peranannya,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled menjelaskan, KAI dan Syarikat Aeroangkasa Hanwha merupakan pengeluar aset ketenteraan bertanggungjawab dalam pembinaan 18 pesawat pejuang FA-50M.

Dalam konteks ini, KAI bertanggungjawab dalam pembuatan FA-50M, manakala enjin pesawat tempur itu dibina menggunakan enjin jenis F404 daripada Syarikat Aeroangkasa Hanwha.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai sama ada Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menambah aset udara selain FA-50M, Mohamed Khaled berkata, perolehan udara yang lain bergantung kepada perancangan TUDM dan kewangan negara.

“Di dalam CAP55 TUDM, kita ada senaraikan (untuk membeli aset udara) dan kita berharap agar kerajaan dapat memenuhi keperluan seperti yang pernah dirancang MINDEF,” katanya.

Sebelum ini, MINDEF dan KAI menandatangani kontrak perolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M pada penganjuran pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) tahun lalu.

Pesawat pejuang ringan FA-50M yang bakal diperoleh TUDM membabitkan varian FA-50 Block 20.

Pesawat itu adalah paling moden dan berkeupayaan berbanding varian diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN