Pesakit MPox semakin pulih, stabil - Dr Dzulkefly

Pesakit MPox semakin pulih, stabil – Dr Dzulkefly

Ledakan Covid-19
DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan seorang pesakit positif cacar monyet atau MPox varian clade II pada 16 September lalu kini semakin sihat dan berada dalam keadaan stabil.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, individu itu menunjukkan perkembangan positif dan dalam proses menamatkan tempoh isolasi.

Beliau berkata, setakat ini, tiada kes baharu MPox dalam negara direkodkan.

“Berhubung vaksin penyakit itu pula, kami sedang menunggu ketibaan bekalan vaksin MVA-BN, yang dikhususkan kepada kumpulan berisiko tinggi, termasuk petugas kesihatan serta kontak rapat kes yang disahkan,” katanya ketika ditemui pada program Gotong Royong Mega Perangi Aedes 2.0, 1 Hour Malaysia Clean Up dan Hari Cuci Malaysia di Kuarters Presint 18R13, di sini pagi tadi.

Pada 17 September lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata, KKM berjaya mengesan satu kes positif MPox varian clade II pada 16 September lalu.

Kes itu dikesan daripada 58 kes disyaki MPox yang dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly berkata, perubahan iklim menjadi salah satu faktor yang mempengaruhi pembiakan nyamuk Aedes di negara ini.

Menurutnya, perubahan iklim itu menyebabkan proses pembiakan nyamuk menjadi sangat aktif kerana terdapat perubahan suhu ketara.

Semalam, KKM melaporkan, keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam penularan demam denggi kerana ia mempengaruhi habitat dan kelangsungan hidup nyamuk Aedes Aegypti.

Malah, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan fasa peralihan monsun bermula pada 24 September lalu dan dijangka berterusan sehingga bulan November ini.

Sehingga Minggu Epidemologi ke-38 (ME38) iaitu bagi tempoh 15 September hingga 21 September lalu, KKM melaporkan terdapat 1,514 kes demam denggi dengan dua kematian direkodkan akibat komplikasi demam denggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN