Peruntukan TVET diagih kepada kolej bawah MCA, MIC - Utusan Malaysia

Peruntukan TVET diagih kepada kolej bawah MCA, MIC

TVET MIC MCA
AHMAD Zahid Hamidi hadir perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-78, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan sebahagian daripada RM200 juta dalam Tabung Pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara kepada institusi di bawah MIC dan MCA, pada tahun ini.

Bagaimanapun jumlah peruntukan kepada Kolej Tafe dan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) akan ditentukan kemudian menerusi perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dana tersebut akan diberikan mengikut keperluan-keperluan kursus yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi (IPT) berkenaan.

“Ia adalah sebahagian daripada RM200 juta yang kita terima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk Tabung Pembangunan TVET Negara. Dana itu akan dibahagikan mengikut kursus-kursus yang sedang atau akan dijalankan oleh Kolej Tafe dan TAR UMT.

“Saya sudah mengadakan perbincangan awal dengan Setiausaha Sekretariat TVET yang mengadakan rundingan dengan kedua-dua IPT berkenaan, tetapi perinciannya akan diberitahu kemudian. (Jumlah peruntukan) Itu bergantung kepada keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Perhimpunan Agung MIC Ke-78, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara itu dalam ucapan perasmiannya berikrar mengenepikan sentimen perkauman dalam pembangunan pendidikan kepada seluruh masyarakat terutama melibatkan TVET.

Tegasnya, beliau menyedari keciciran dalam pendidikan yang dialami oleh masyarakat India di negara ini termasuk 10,177 orang pelajar yang tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Saya akan bekerjasama dengan Kolej Tafe (melalui Jaringan Universiti Teknikal Malaysia (MTUN)). Untuk Kolej Tafe, mesyuarat Jemaah Menteri dua minggu lalu membuat keputusan pelajar yang mempunyai Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 6,7 dan 8 diiktiraf sama taraf dengan ijazah pertama.

“Oleh demikian untuk Kolej Tafe, saya akan usahakan pelajar yang ada SKM Tahap 6,7,8 dapat ijazah daripada Kolej Tafe dan juga MTUN. Itu saya umumkan di Perhimpunan MIC hari ini kerana berlaku masalah keciciran paling banyak. Sebab itu dikatakan saya ‘buta warna’ dalam pendidikan,” jelasnya.

Dalam pada itu, kata Ahmad Zahid lagi, beliau menegaskan kesemua institusi TVET di seluruh negara dijamin akan dibuka kepada semua masyarakat tanpa mengira kaum bagi mengurangkan impak terhadap keciciran dalam pendidikan masyarakat India di sekolah rendah dan menengah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN