Peruntukan RM4.2 juta hadapi banjir di Terengganu - Utusan Malaysia

Peruntukan RM4.2 juta hadapi banjir di Terengganu

NADMA menyediakan lebih 8,000 PPS di seluruh negara untuk mangsa banjir. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu dan Pusat meluluskan peruntukan lebih RM4.2 juta untuk persiapan menghadapi musim tengkujuh di negeri itu, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.2 juta ialah daripada kerajaan Persekutuan manakala RM2.038 juta lagi peruntukan kerajaan negeri.

Menurutnya, peruntukan itu akan digunakan untuk membeli bahan mentah, makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelikat untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri mulai awal bulan depan.

“Keutamaan akan diberikan di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Kuala Nerus,” katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Pada tahun ini, sebanyak 590 pusat pemindahan sementara (PPS) dengan kapasiti yang boleh menampung seramai 147,590 mangsa disediakan.

Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata, pihaknya juga telah membuat latihan dan persiapan rapi untuk menghadapi fenomena musim monsun timur laut berikutan ramalan musim tengkujuh akan berlaku lebih awal kali ini.

“Saya difahamkan semua agensi di bawah Jawatankuasa Bencana Negeri sudah melakukan persiapan menghadapi banjir bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang terjejas berjalan lancar.

“Antara persiapan awal dilakukan adalah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah dan latihan simulasi banjir di peringkat daerah masing-masing telahpun dilaksanakan baru-baru ini,” katanya.

Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan agar bersedia lebih awal dengan menyimpan barangan berharga dan dokumen penting ke tempat lebih tinggi sebagai persediaan menghadapi banjir.

“Paling penting, kenal pasti di manakah lokasi PPS terdekat untuk memudahkan pemindahan apabila banjir melanda rumah mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN