PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM15 juta untuk pasukan Harimau Malaya bagi membantu memperkukuhkan pembangunan sukan bola sepak negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah itu meliputi RM10 juta dari pihak kerajaan manakala RM5 juta daripada syarkat swasta khusus untuk pengurusan, latihan dan kebajikan para pemain.
“Saya mengambil keputusan secara peribadi untuk memantau dan membantu memperkukuh pasukan harimau Malaya di Malaysia ini.
“Kalau kita dapat pengurusan dan jurulatih yang menunjukkan komitmen mereka, saya percaya kita mampu mengangkat nama dan kewibawaan harimau Malaya mewakili negara Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini. – UTUSAN