PETALING JAYA: Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak menganggap pertemuan Pas dengan pemimpin UMNO bagi ‘menghidupkan’ kembali Muafakat Nasional (MN) sebagai memperkecilkan Bersatu.
Calon Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada Bersatu), Muhammad Hilman Idham berkata, beliau secara peribadi mendukung usaha penyatuan parti-parti Melayu di negara ini.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia itu tidak melihat timbul isu pada Pas yang mahu bertemu pemimpin UMNO untuk tujuan berkenaan.
“Bagi saya tiada masalah sebab kita (Bersatu) juga sentiasa mendukung usaha penyatuan khususnya dalam kalangan parti Melayu. Tetapi, ia mesti digariskan dengan prinsip yang tegas dan jelas.
“Sebab itu kita tidak sama sekali merasakan ia sebagai satu usaha merendahkan Bersatu, bahkan kita merupakan rakan seperjuangan yang hari ini akrab dengan Pas,” katanya selepas hadir ke sidang akhbar Majlis Pengenalan Calon Armada Bersatu di sini hari ini.
Beliau mengumumkan bertanding jawatan Ketua Armada dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kali ini.
Pada 14 September lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, partinya akan mengadakan pertemuan dengan pimpinan UMNO kecuali Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam usaha menghidupkan kembali MN yang dibentuk kedua-dua parti pada 2019.
Ahli akademik berpendapat, kenyataan Abdul Hadi itu seolah-olah memperkecil keupayaan Bersatu dalam menarik sokongan Melayu.
Pas dicadang membincangkan hasrat itu dalam Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu berbanding menyatakan pendirian secara terbuka tanpa penglibatan Bersatu.
MN ialah kerjasama berpiagam antara dua parti politik teras Melayu-Islam, Pas dan UMNO yang dibentuk hasil daripada Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai antara kedua-dua semasa Himpunan Penyatuan Ummah pada 14 September 2019. – UTUSAN