BANGI: Pertemuan antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) ditunda pada hari lain.
Ia susulan Menteri Perpaduan, Datuk Seri Aaron Ago Dagang tidak dapat menghadirinya.
Mohd. Na’im berkata, pihaknya akan mencari tarikh sesuai bagi mengadakan pertemuan tersebut.
“Cadangan asalnya pertemuan itu diadakan petang ini namun Pengerusi Bersama dalam Jawatankuasa Harmoni, Datuk Aaron Ago Dagang mohon pertemuan itu dibuat sekali dengan beliau.
“Beliau tidak boleh hadir petang ini, kita akan cari tarikh yang sesuai antara saya dengan Aaron untuk kita adakan pertemuan tersebut.
“Pertemuan petang ini akan ditangguhkan dalam masa terdekat,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Bangi, di sini hari ini.
Yang hadir Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee.
Mohd. Na’im berkata, Aaron berhasrat menyertai pertemuan dengan MCCBCHST mengenai bantahan majlis itu berkaitan penempatan pegawai Jakim di jabatan kerajaan.
Terdahulu, Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan memaklumkan, Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni (JK HARMONI) yang dikendalikan bersama Jakim telah menubuhkan tiga biro (sub jawatankuasa) bertujuan memastikan gerak kerja lebih efektif dalam melaksanakan inisiatif keharmonian antara agama di negara ini.
Menurutnya, salah satu biro adalah Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang memberi tumpuan dalam usaha merungkai isu-isu dan konflik berkaitan agama yang berlaku dalam kalangan masyarakat yang berpotensi mengancam perpaduan dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.
Namun, MCCBCHST membantah cadangan menempatkan pegawai JAKIM di jabatan kerajaan yang didakwa berpotensi menjejaskan jaminan Perlembagaan termasuk hak asasi dilindungi Perkara 5 hingga 13, yang juga membentuk struktur asas Perlembagaan.
Bagaimanapun, Mohd. Na’im menjelaskan tujuan pegawai JAKIM ditempatkan hanya untuk mengendalikan program keagamaan. – UTUSAN