KUBANG PASU: Pertembungan hujan lebat di serata negeri dengan fenomena air pasang besar yang berlaku selama empat hari sejak Rabu lalu, dipercayai menjadi faktor banjir berskala lebih besar berbanding tahun-tahun sebelum ini di Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhamamd Sanusi Md. Nor berkata, keadaan ketika ini bagaimanapun semakin pulih di kebanyakan kawasan setelah fenomena tersebut berakhir, manakala hujan pula kian berkurang.
“Ini banjir kedua terburuk yang pernah berlaku di Kedah selepas 2010. Sebab kejadian ini berlaku dipercayai akibat hujan banyak di kawasan luas yang bertembung dengan fenomena air pasang besar di laut.
“Apabila keadaan itu berlaku, air tersekat kerana tidak dapat menghilir ke laut dan itulah yang menyebabkan banjir kali ini agak besar dan berlangsung dalam tempoh agak lama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melawat mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Seri Indera Putera di sini, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, terdapat enam projek mitigasi banjir sedang dalam pelaksanaan di Kedah melibatkan kos lebih RM512 juta iaitu RTB Sungai Kedah di Anak Bukit; RTB Bandar Jitra Selatan; RTB Baling; RTB Pendang dan projek pembinaan infrastruktur sabo di Sungai Kupang, Baling.
Selain itu, terdapat enam projek dalam proses perolehan dan reka bentuk dengan kos sebanyak RM309 juta melibatkan RTB Baling fasa satu, RTB Sungai Bongkok di Kuala Muda, RTB Bandar Baharu dan projek kawalan hakisan pantai di Kampung Sungai Pial hingga Kampung Tanjung Dawai di Kuala Muda.
“Peruntukan itu termasuk projek pemuliharaan Pantai Merdeka serta projek mengatasi masalah fenomena air pasang besar serta hakisan pantai di beberapa kawasan dalam negeri ini.
“Lapan projek yang dipohon di bawah Rolling Plan 5 (RP5) berjumlah RM897 juta pula antaranya saliran mesra alam Taman Selasih di Kulim; RTB Sungai Temin dan Bata di Kubang Pasu dan RTB Sungai Karangan di Kulim.
“Projek pemuliharaan Sungai Anak Bukit serta RTB Alor Semeliang di Padang Terap turut berada dalam RP5. Kejadian banjir yang agak teruk pada tahun ini menunjukkan keperluan supaya projek-projek ini disegerakan,” katanya. – UTUSAN