KUALA LUMPUR: Pelakon dan selebriti popular, Nur Fazura, 41, nekad mahu bercerai dengan Fattah Amin, 33, atas alasan demi mempertahankan maruah dan kesejahteraan hidup bersama anak, Nur Fatima Aisya, 4.
Perkara itu diakui oleh Fazura menerusi satu hantaran yang dibuat naik di Instagram (IG) yang turut menyaksikan aktres tersebut memohon semua pihak supaya mendoakan proses perceraiannya dengan Fattah berjalan lancar.
“Pada hari ini, Faz (Fazura) kekal nekad untuk meneruskan keputusan Faz sebelum ini demi maruah Faz sebagai wanita dan kesejahteraan Fatima dalam hidup Faz.
“Mohon doakan Faz dapat menyempurnakan proses ini dengan baik dan lancar. Terima kasih sekali lagi atas semua kata-kata semangat, sokongan dan semua doa untuk Fatima dan Faz sekeluarga,” tulis Fazura.
Menerusi hantaran yang sama, Fazura turut meletakkan gambar dirinya sedang memeluk Fatima selain menitipkan ucapan penghargaan buat mereka yang tidak putus memberi kata semangat.
Selain itu, Fazura menjelaskan, dia mengambil keputusan itu selepas mempertimbangkan masa depannya bersama Fatima.
“Pertama sekali, Faz ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan, doa yang baik, kata-kata semangat serta bunga dan tanda hati kepada Faz sejak lebih seminggu yang lalu.
“Alhamdulillah dan terima kasih sekali lagi kepada semua. Keputusan yang telah Faz buat pada 13 September lepas bukanlah sesuatu yang diambil dengan ringan tanpa sebarang pertimbangan dan refleksi yang mendalam tentang masa hadapan Fatima dan Faz,” katanya.
Terdahulu, Fattah dilaporkan belum bersetuju untuk melepaskan Fazura semasa sebutan kes permohonan perceraian mereka di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini, hari ini.
Mahkamah kemudian menangguhkan kes perceraian pasangan selebriti itu ke tarikh baharu, iaitu pada 7 Oktober ini.
Terdahulu, isu keretakan rumah tangga Fazura dan Fattah hangat diperkatakan dalam media sosial apabila mereka dikatakan sudah tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran dalam akaun masing-masing.
Tidak cukup itu, kisah rumah tangga Fazura dan Fattah dibincangkan di laman sembang hingga menarik perhatian netizen.
Pada 13 September lalu, Fazura memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Butiran lanjut tidak diperincikan mengenai permohonan cerai, namun, ia mengejutkan ramai pihak. Sehingga kini, isu yang berlaku antara Fazura dan Fattah masih menjadi tanda tanya.
Bagaimanapun, Fattah dilapor berkata, dia terkejut apabila menerima berita isterinya memfailkan perceraian dan hanya mengetahui perkara itu menerusi media sosial.
Fazura dan Fattah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Fatima Aisya.