KUALA LUMPUR: Terbuka berkongsi kisah cinta, pelakon Riena Diana mengakui personaliti Keith Foo menjadi punca utama dirinya terpikat dengan aktor itu.
Selain memiliki wajah yang tampan, Riena atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal, 27, mendedahkan bibit cinta itu bermula ketika pertama kali bertemu dengan Keith untuk sebuah drama bersiri, Salju Rindu yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
“Personaliti dia. Bukan sebab dia handsome sahaja. Kacak memang salah satu sebabnya tetapi itu akan hilang satu hari nanti. Tapi, sudah tentulah dari mata turun ke hati dulu.
“Masa saya datang ke sesi pembacaan skrip, saya rasa dia tampan dan nak berlakon dengan dia. Tapi tak terfikir macam akan suka sebab saya rasa saya budak.
“Jadi, tak mungkin dia nak. Cuma, kita ada crush‘sikit dengan dia. Bila dah mula penggambaran tu, saya dah rasa macam seronok. Saya jadi teruja nak bangun hari-hari untuk pergi ke lokasi penggambaran,” katanya.
Tambah Riena, dia sering berasa yakin untuk mempamerkan kecantikannya kepada Keith ketika tidak ‘make-up’ meskipun di lokasi penggambaran.
“Kita perempuan selalu tahu bila kita tengah cantik dan ada keyakinan diri. Saya tak yakin tau pakai make-up dalam drama itu. Saya rasa saya buruk.
“Saya selalu lambatkan diri untuk bersolek supaya dia nampak saya tanpa make-up. Kalau boleh nak dia tengok muka saya tanpa make-up dulu.
“Kadang-kadang saya rasa dia pandang saya sewaktu penggambaran,” jelasnya.
Pada Jun lalu, Riena terbuka mengumumkan hubungannya bersama Keith secara umum bahkan, sudah bertemu dengan anak kepada aktor itu, Skylar serta keluarganya.
Riena bagaimanapun menegaskan bahawa dia enggan terburu-buru untuk memikir soal berkahwin kerana memerlukan masa untuk mengenal hati pelakon lelaki itu.-UTUSAN