KUALA LUMPUR: Penyanyi, Osama Yamani, mendedahkan pernah tinggal selama beberapa bulan di Rumah Pengasih bersama bapa yang juga penyanyi, Datuk Jamal Abdillah.
Mengimbau kembali kenangan tersebut, Osama yang juga pemain gitar band Cherry On Top baru berusia lapan tahun ketika itu dan menyifatkan ia sebagai pengalaman berharga yang sukar dilupakan.
“Waktu umur saya lapan tahun, saya pun pernah membesar berdua dengan ayah di Rumah Pengasih. Masa itu ayah belum keluar lagi, masih di dalam (menjalani program rawatan).
“Dia ada bilik sendiri dan saya duduk dengan dia. Saya ingat apa yang berlaku kerana di usia itu saya sudah boleh berfikir dan ada memori. Sepanjang di sana, saya jumpa ramai orang daripada latar belakang dan pengalaman yang tidak disangka.
“Mereka banyak beri nasihat kepada saya. Mungkin orang di luar hina mereka, tapi bagi saya mereka yang tinggal di Rumah Pengasih adalah orang-orang yang paling baik,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di One Scream Studio, baru-baru ini.
Tambahnya, adiknya Zaki Yamani juga pernah tinggal bersama di Rumah Pengasih, namun dia terlalu kecil untuk mengingati apa yang berlaku.
“Jika saya mahu ke sekolah, ayah akan hantar. Habis sekolah dia akan ambil semula dan pulang ke Rumah Pengasih.
“Zaki juga pernah melalui pengalaman itu, tapi dia kecil, belum boleh fikir. Lagipula dia tidak lama di sana,” jelasnya.
Bagi Osama, dia tidak merasakan pengalaman bapanya tersalah langkah dan terjebak najis dadah sebagai sesuatu memalukan, sebaliknya menjadikannya sebagai pengajaran.
“Saya tahu semua kisah silam ayah. Waktu saya membesar zaman 2009 sudah ada internet. Jadi saya buat carian untuk tahu siapa Jamal Abdillah, dari situ saya jumpa artikel dia pernah terjebak dadah.
“Saya matang berfikir dan tidak mahu jadi begitu. Cukuplah apa yang jadi di depan mata untuk dijadikan pengajaran. Syukur semuanya sudah berubah.
“Sebab itu saya faham bila ayah kata tidak mahu ada anak sebab takut anak-anak ikut jejaknya tersalah jalan,” jelasnya.
Rumah Pengasih adalah pusat pemulihan dan rawatan dadah yang diwartawakan kerajaan dan mula beroperasi pada 1993. -UTUSAN