Permohonan Tommy gugur pesuruhjaya kehakiman didengar 6 Nov. - Utusan Malaysia

Permohonan Tommy gugur pesuruhjaya kehakiman didengar 6 Nov.

gombak setia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas untuk menggugurkan Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain daripada mendengar kes saman Tan Sri Shahrir Ab. Samad terhadap beliau dan tiga lagi berhubung pendakwaan berniat jahat akan didengar oleh Mahkamah Tinggi pada 6 November ini.

Peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir memberitahu media, tarikh itu ditetapkan oleh Roz Mawar pada prosiding kes yang berlangsung secara dalam talian hari ini manakala permohonan akan didengar secara fizikal.

 Prosiding itu turut disertai peguam Alan Adrian Gomez yang mewakili Tommy manakala Peguam Persekutuan Syafiq Affandy Hassan mewakili bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, SPRM dan kerajaan selaku defendan.

Tommy yang memfailkan permohonan itu pada 26 Ogos lalu mendakwa Roz Mawar telah membuat banyak dapatan tidak berasas serta bercanggah dengan tuntutan saman itu dan keterangan yang dikemukakan di hadapan mahkamah. 

Dakwanya, Roz Mawar telah menentukan terlebih dahulu keputusan saman plaintif (Shahrir) terhadap beliau menyebabkan pihaknya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil sekiranya Roz Mawar mendengar kes saman berkenaan.

Pada 3 Julai lalu, Roz Mawar menolak permohonan Tommy untuk membatalkan saman itu dan kes ditetapkan bagi pendengaran penuh selama tujuh hari iaitu dari 9 hingga 12 Mac dan 27 hingga 29 April 2026.

Saman yang difailkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu pada Disember 2023 adalah berkaitan sekeping cek RM1 juta yang diterima Shahrir daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan kerja-kerja pemulihan projek perumahan Puri Langkasuka di Larkin, Johor.

Tommy yang menjawat jawatan itu dari 4 Jun 2018 hingga 28 Februari 2020 dalam afidavitnya telah menafikan dakwaan Shahrir terhadap beliau termasuk salah guna kuasa dan menyifatkan ia sebagai `tidak boleh dipertahan.’

Beliau berkata, budi bicara sama ada untuk mendakwa hanya boleh dilaksana selepas pendakwa raya menerima kertas siasatan daripada agensi penyiasat seperti SPRM.

Menurut Tommy, beliau telah meletak jawatan pada 28 Februari 2020 dan pada 26 Julai 2022, perbicaraan jenayah Shahrir bagi pertuduhan itu bermula.

Pada 5 Januari 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Shahrir daripada pertuduhan gagal mengisytihar pendapatan sebanyak RM1 juta yang diterima daripada Najib kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas pendakwaan memaklumkan bahawa ia tidak berhasrat untuk meneruskan kes itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN