IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak untuk dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima, tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendapati tiada keadaan istimewa yang mewajarkan perintah agar permohonan bagi mendapatkan jaminan dibenarkan.
Ketika membacakan keputusannya, Bhupindar berkata, berdasarkan naratif dikemukakan pihak pendakwaan, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun keseksaan.
“Tiada sebarang keadaan istimewa dikemukakan pihak pembelaan bagi permohonan jaminan berkenaan. Selepas mengambil kira hujahan balas diberikan kedua-dua pihak, mahkamah dengan ini menolak permohonan jaminan terhadap tertuduh.
“Mahkamah telahpun menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan kes ini dan pihak pendakwaan diingatkan untuk memastikan saksi-saksi hadir, ” katanya.
Sementara itu, di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memberitahu pemberita, dua alasan dipertimbangkan mahkamah untuk menolak permohonan jaminan tersebut.
Katanya, pertama pihak pembelaan mengemukakan keselamatan keluarga tertuduh terancam susulan kes berkenaan telah tular, namun pihak pendakwaan mendapati tiada siasatan lanjut dibuat polis.
Jelasnya, alasan kedua berkaitan keselamatan dan nyawa tertuduh di penjara terancam kerana bercampur dengan banduan lain setiap kali transit balik dari mahkamah.
“Pihak pendakwaan berpendapat, isu tersebut tidak wajar dibangkitkan dalam afidavit kerana pihak penjara tidak pernah halang atau mewujudkan sekatan tertuduh berjumpa peguam,” katanya.
Selain Afzainizam, pihak pendakwaan turut diwakili Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili Peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.
Hadir sama, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid.
Mohd Nazri, 45, dituduh melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh pada 15 Disember lalu.
Pertuduhan ke atas Mohd Nazri yang berpangkat Deputi Superintenden (DSP) dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam sebutan kes pada 1 Julai lalu, Mohd Nazri memfailkan permohonan jaminan agar dibebaskan sementara menunggu perbicaraan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.
Mahkamah sebelum ini telah menetapkan tarikh perbicaraan kes selama 30 hari iaitu pada 4 hingga 8 dan 11 hingga 15 November, 2 hingga 6 dan 9 hingga 13 Disember serta 6 hingga 10 dan 13 hingga 17 Januari tahun depan. – UTUSAN