Perlu libat urus sebelum wajibkan restoran peroleh sijil halal - Utusan Malaysia

Perlu libat urus sebelum wajibkan restoran peroleh sijil halal

WEE Ka Siong ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan 2024 di Seremban 2, Seremban, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebarang cadangan atau keputusan mengenai mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal seharusnya melalui proses perbincangan dan libat urus dengan banyak pihak.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan pertikaian dan sebarang persepsi yang boleh timbul mengenainya.

“Bagi saya, apa juga yang dilakukan mesti ada konsultasi ataupun bincang terlebih dahulu, kalau mana-mana pihak buat cadangan tanpa ada satu pihak lagi faham apa yang dimaksudkan itu, sudah tentu akan timbul persepsi.

“Akan dan akan ada banyak pandangan yang masuk, saya rasa perkara ini perlu dilihat kewajarannya. Sama ada cadangan atau apa pun, kerajaan hanya dapat memutuskan sesuatu dasar sekiranya telah dipersetujui dalam Kabinet.

“Perlu libat urus, perlu lihat kewajarannya kalua mahu buat kenapa dan apa asasnya? adakah telah ambil input dari semua pihak? tidak boleh ada cadang-cadang sahaja, ia mesti diperhalusi di peringkat pihak yang buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA Negeri Sembilan 2024 di Seremban 2, di sini hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengkaji cadangan untuk mewajibkan restoran dan syarikat makanan di negara ini memiliki sijil halal.

Langkah itu bagi mengecualikan restoran yang menghidangkan daging babi atau minuman beralkohol.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, proses untuk mendapatkan sijil halal ketika ini adalah lebih kepada sukarela oleh pengusaha restoran atau pemilik syarikat makanan.

Perkara itu turut mendapat maklum balas Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok yang dilaporkan berkata, cadangan itu hanya menambah beban kepada peniaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN