Perlu dapat kelulusan Kabinet sebelum ke luar negara – PM

Perlu dapat kelulusan Kabinet sebelum ke luar negara – PM

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Darussalam, Puchong, semalam. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUCHONG: Datuk Seri Anwar Ib­rahim mengarahkan semua menteri membentangkan laporan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu sebelum dibenar me­ngadakan lawatan rasmi ke luar negara.

Perdana Menteri mendedah­kan pernah membatalkan lawa­tan yang tidak memerlukan jum­­lah delegasi tidak sepatutnya.

“Keterlanjuran ini umpama­nya ada pameran kecil di Paris tapi saya lihat daripada kakita­ngan kementerian dan agensi-agensi berkenaan (adalah) 68 orang yang berdaftar untuk per­gi, sebahagian kecil mungkin ter­libat serta diperlukan.

“Jadi, saya ambil satu keputusan yang tegas (dengan) membatalkan seluruh lawatan itu walaupun tiket penerbangan (dan) hotel sudah disediakan. Ini sebagai mesej yang jelas. Kita bercakap soal reformasi.

“Menteri-menteri untuk melawat mesti bentang kepada Jemaah Menteri dan selalunya kita buat potongan apakah perlu dua atau tiga petugas. Kalau tidak perlu, diminta tangguh dan umpamanya disekalikan dengan lawatan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri yang mana memorandum persefahaman (MoU) boleh ditandatangani sekali untuk menjimatkan belanja tetapi kadang-kala mesej ini tidak jelas,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darussalam, di sini.

Tegasnya, perbelanjaan yang digunakan merupakan wang rakyat yang dipertanggungjawabkan supaya ia dibelanjakan dengan baik dan cermat.

“Semalam saya ada pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan ketua pengarah berkenaan untuk menyatakan ketegasan kita dan meminta kerjasama.

“Majoriti penjawat awam terutama yang diperingkat tinggi memahami dan menyokong tetapi pelanggaran ini tidak boleh diizinkan,” jelasnya.

Menurutnya, usaha mereformasi pentadbiran negara perlu diteruskan bagi mengelak daripada berlakunya pembaziran wang rakyat.

Perdana Menteri, berkata, beliau sudah menegaskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri bahawa usaha mereformasi institusi, agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti diteruskan.

Kata beliau, terdapat sesetengah keputusan sebelum ini memberi keuntungan kepada pihak tertentu maka ia perlu dihentikan segera.

“(Usaha) reformasi dalam jabatan kerajaan, GLC (dan) agensi-agensi mesti berterusan. Hari Rabu lalu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kita lebih tegas, menuntut semua (untuk melakukan reformasi).

“Walaupun lembaga berkuasa tetapi kadang-kadang lembaga membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan mereka. Oleh itu, semua projek baharu (dan) lawatan ke luar negara mesti dirtujuk kepada ketua setiausaha atau ketua pengarah dan diluluskan oleh menteri berkenaan supaya ada yang akhirnya bertanggung jawab secara langsung,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar turut membidas pemimpin pembangkang seolah-olah tidak nampak kedudukan ringgit yang sedang mengukuh apabila mengambil pendekatan berdiam diri.

Katanya, pemimpin-pemimpin pembangkang dilihat gemar mengkritik apabila ringgit melemah dan membisu apabila mata wang negara mengukuh.

Menurut beliau, keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) melakukan pemotongan kadar faedah telah memberi laluan kepada penguatan ringgit.

“Alhamdulillah, (ringgit) lebih baik, walaupun kadang-kadang rakan kita di sebelah sana (pembangkang) tidak nampak.

“Apabila ringgit melemah, dia hentam dan caci kita berterusan (tetapi) bila (ringgit) menguat (dia diam). Kita kata alhamdulilah, jadi cukup setakat itu,” katanya.

Mengulas mengenai serangan ‘licik’ rejim Zionis menggunakan alat kelui atau pager untuk membuat letupan hingga meragut nyawa manusia yang tidak bersalah, Anwar berkata, ia adalah tindakan paling tidak berperikemanusiaan.

Beliau berkata, kerajaan melalui Kementerian Luar (KLN) mengutuk serangan biadab yang dilakukan oleh Israel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya