ARAU: Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini mula dinaiki air dengan penduduk mula dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang sudah diaktifkan.
Setakat ini, sebanyak 45 mangsa membabitkan 15 keluarga telah dipindahkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Arau dan SK Sena yang dibuka sejak semalam.
Antara kawasan yang terjejas adalah seperti Kampung Titi Besi, Kampung Kubang Gajah, Kampung Alor Setar, Jelempok, Kampung Kota Keran, Kampung Bakau, Kampung Seberang Tambang, Kampung Tebing Tinggi dan beberapa lagi.
Pengarah Jabatan Kebajikan dan Masyarakat (JKM) negeri, Ku Chik Ku Mat Esa berkata, setakat ini, tiada penambahan mangsa banjir direkodkan di dua PPS yang diaktifkan di negeri ini.
“PPS SK Sena menempatkan seramai lima keluarga dengan 10 orang mangsa manakala PPS SK Arau pula menempatkan seramai lapan keluarga dengan membabitkan 33 mangsa.
“Setakat ini, kita menjangkakan tiada penambahan mangsa ke PPS namun kita masih bersiap-sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika di sini, hari ini.
Beberapa kawasan sekitar Perlis sebelum ini dilaporkan terjejas berikutan daripada keadaan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu ekoran musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL).
Dalam pada itu, Ku Chik berkata, beberapa agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan beberapa lagi turut dikerahkan ke PPS bagi membantu mangsa-mangsa terlibat.
“Kita turut aktifkan jawatankuasa kerja di PPS supaya semua petugas dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya bagi membantu mangsa terlibat,” katanya.
Di samping itu, Ku Chik berkata, semua petugas dan anggota keselamatan sememangnya bersiap sedia bagi menghadapi segala kemungkinan sekiranya situasi hujan lebat masih berterusan selepas ini.
Katanya, pembukaan PPS baharu juga akan dipertimbangkan sekiranya wujudnya keperluan bergantung kepada situasi semasa.
“Kita sentiasa siap sedia dan akan arahkan penduduk atau mangsa untuk berpindah sekiranya keadaan paras air meningkat selepas ini,” katanya.-UTUSAN