KANGAR: Perlis diibarat seperti ‘kilang’ yang melahirkan ramai bakat dalam sukan olahraga para menyasarkan lima pingat emas dalam sukan berkenaan bersempena temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak yang akan berlangsung dari 20 hingga 29 September ini.
Pada temasya kali ini, secara secara keseluruhan, Perlis yang menghantar 65 atlet, menyasarkan lapan pingat emas termasuk dalam sukan angkat berat dan bowling padang.
Dalam sukan olahraga para, Perlis pernah melahirkan jaguh lompat jauh negara, Datuk Abdul Latif Romly yang memenangi pingat emas Sukan Paralimpik bagi dua edisi berturut-turut di Rio 2016 dan Tokyo 2020 selain perak pada temasya Paris 2024 baru-baru ini.
Selain itu, anak kelahiran Perlis, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi juga berjaya memenangi pingat emas bagi acara 100 meter (m) lelaki T36 di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Penolong Pengarah Bahagian Sukan Jabatan Belia dan Sukan negeri, Fauzi Abdullah Saleh berkata, pada temasya Para Sukma Sarawak kali ini, olahraga sekali lagi menjadi taruhan sebagai lubuk emas kontinjen Perlis.
Katanya, sukan olahraga menyasarkan lima pingat emas daripada sasaran keseluruhan Perlis iaitu sebanyak lapan emas.
“Olahraga ibarat kilang yang melahirkan ramai bakat dari negeri ini. Selalunya atlet olahraga para kita terpilih mewakili negara. Malah, setiap kali temasya Para Sukma, olahraga antara yang tidak pernah mengecewakan.
“Pada temasya di Sarawak kali ini, kita menyertai enam acara iaitu olahraga para, badminton para, ping pong para, angkat berat para, tenpin bowling dan bowling padang.
“Sukan angkat berat dan bowling padang juga menjadi sasaran untuk kita membawa pulang pingat emas daripada temasya ini. Insya-Allah sasaran itu akan cuba direalisasikan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Fauzi, pencapaian terbaik Perlis dalam Para Sukma adalah pada tahun 2016 dengan merangkul 16 pingat emas.
“Pada edisi 2022 lalu pula, kita memperolehi lapan pingat emas. Kita akan terus berusaha dalam temasya kali ini sama ada menyamai pencapaian edisi lalu atau mengatasinya,” katanya.-UTUSAN