Perkukuh semangat perpaduan demi kemakmuran Malaysia - Hajiji Perkukuh semangat perpaduan demi kemakmuran Malaysia - Hajiji

Perkukuh semangat perpaduan demi kemakmuran Malaysia – Hajiji

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pembentukan Malaysia telah membawa banyak nikmat dan manfaat kepada pelbagai lapisan rakyat di seluruh negara dan negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah amat menghargai keprihatinan kerajaan Perpaduan kepada rakyat negeri ini.

Katanya, perjalanan membina negara ini masih panjang, berliku dan pastinya akan berhadapan dengan pelbagai cabaran, namun pasti berjaya diharungi dengan adanya kesatuan, kebersamaan dan perpaduan atas kepentingan tanah air.

Justeru, beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghayati tema sambutan Hari Malaysia tahun ini iaitu ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’, cerminan yang amat penting bagi kemakmuran dan kemajuan negara.

“Nilai-nilai Malaysia Madani seiring dengan aspirasi dasar Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi panduan kerajaan dalam memacu pembangunan negeri ini. Melalui dasar ini, kerajaan berusaha memperkukuhkan ekonomi, mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkasa pembangunan yang lestari.

“Gabungan nilai-nilai Malaysia Madani dan SMJ adalah manifestasi kesungguhan kita untuk melihat Sabah dan Malaysia terus maju dalam suasana yang aman dan makmur.

“Bagi kita di Sabah, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum akan terus dipertahankan dalam usaha bergerak maju ke hadapan. Ini kerana kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah kunci kepada kejayaan Malaysia amnya dan Sabah khususnya.

“Maka, marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat perpaduan dan terus bekerja keras demi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang makmur, berdaulat, dan dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2024, hari ini.

Beliau berkata, sambutan Hari Malaysia amat bermakna kepada seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mengingati dan meraikan detik bersejarah tanah air yang berlaku 61 tahun yang lalu.

Pada ketika itulah termeterainya perjanjian yang menyatukan dua wilayah Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu untuk membentuk sebuah negara bangsa yang berdaulat dan merdeka di bawah satu bendera, satu negara.

Sabah menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada tahun ini yang akan diadakan di Padang Merdeka. Sambutan yang akan berlangsung esok dijangka dihadiri kira-kira 30,000 pengunjung. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN