Perjalanan ke Krabi berakhir tragedi

Perjalanan ke Krabi berakhir tragedi

KEADAAN kenderaan yang terlibat kemalangan meragut satu nyawa di Kilometer 9 Jalan Kangar-Alor Setar di Kampung Permatang Pauh, Kangar, Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang maut manakala enam lagi cedera selepas van dinaiki mereka yang menuju ke Thailand terbabas dan melanggar pokok di Kilometer 9 Jalan Kangar-Alor Setar di Kampung Permatang Pauh, di sini, semalam.

Kejadian pada pukul 4.30 pagi itu dipercayai berlaku semasa mereka dalam perjalanan dari Alor Setar ke arah Kangar sebelum memasuki Thailand menerusi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Ke­selamatan (ICQS) Padang Besar untuk bercuti di Krabi.

Mohd. Arshad Hanapiah, 73, yang terbunuh adalah seorang pesara tentera dan semasa kejadian, arwah duduk di belakang van.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, mangsa-mangsa yang cedera pula membabitkan empat lelaki dan dua wanita dengan keadaan mereka stabil.

Katanya, semasa kejadian, van dipandu Mohamad Syamel Morad, 29, terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok jenis Tunjuk Langit yang berada di bahu kiri jalan.

“Pelanggaran itu menyebabkan seorang pesara tentera me­ninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penum­pang lain cedera. Enam penum­pang lain ini melibatkan dua lelaki dan empat perempuan berumur lingkungan 11 tahun hingga 73 tahun,” katanya semalam.

Menurut Yusharifuddin, semasa kemalangan, keadaan lokasi kejadian gelap, kurang pencahayaan lampu jalan serta hujan lebat dan permukaan jalan basah dan licin.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dan enam lagi yang cedera turut mendapatkan rawatan di hospital sama.

“Siasatan lanjut di lokasi kejadian menemukan kesan pelanggaran di pokok dan kerosakan remuk teruk di bahagian hadapan sebelah kiri van berkenaan. Tiada kesan brek di lokasi kejadian dan tiada kesan pelanggaran melibatkan kenderaan lain.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu yang terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan lalu melanggar pokok. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya