PETALING JAYA: Terkenal dengan kelunakkan suaranya membawa lagu yang bergenre balada, penyanyi Liza Hanim kini tampil dengan single terbaharu, Perisai Cinta.
Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim, 45, mengakui teruja apabila diberi peluang untuk bekerjasama buat pertama kali bersama Omar K dan Shariq Azeman selaku komposer dan penulis lagu tersebut.
“Saya memang dah lama ingin menyanyikan lagu-lagu Omar K kerana muzik beliau seiring serta sesuai dengan zaman dan bersifat kekinian namun peluang itu tidak pernah ada sebelum ini.
Jadi saat dapat berkolaborasi buat pertama kali, saya begitu teruja dan gembira. Apatah lagi ini kali pertama bertemu dengannya. Kalau Shazriq Azeman pula, saya pernah berjumpa dengannya di pentas “All Together Now”, namun ini kali pertama juga kami bekerjasama,” katanya.
Selain mudah untuk bekerjasama, Liza turut menyifatkan kedua-dua komposer lagu itu sangat berbudi bahasa sepanjang proses pembikinan lagu tersebut.
“Lebih memudahkan kerja adalah mereka berdua sangat menghormati dan berbudi bahasa. Jadi rakaman berjalan dengan sangat lancar dan mudah. Lagipun saya datang dengan penuh semangat seperti setiap rakaman saya sebelum ini.
“Saya sudah hafal lagu dan faham jalan ceritanya. Alhamdulillah semua berjalan lancar dan saya anggap lagu ini ada keajaiban tersendiri kerana ia begitu cepat untuk diselesaikan. Saya dapat menangkap intipati lagu ini dengan cepat dan sekitar 45 minit sahaja semuanya sudah selesai,” jelasnya.
Tambah Liza, ‘Perisai Cinta’ juga merupakan runut lagu untuk sebuah drama bersiri, Ternyata Sebuah Bahagia lakonan Zamarul Hisham, Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datin Elvina Mohamad yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
Liza turut menyifatkan lagu tersebut mempunyai mesej ketuhanan yang menekankan bahawa hanya Sang Pencipta sahaja merupakan tempat bergantung terbaik untuk setiap manusia.
“Menurut pihak penerbitan, kisah dalam lagu ini adalah suara hati watak utama drama tersebut yang bernama Janice, lakonan Sarimah Ibrahim.
“Namun bagi saya lagu ini mempunyai dua maksud. Interpretasi saya mungkin berbeza kerana saya melihatnya sebagai sebuah lagu yang mempunyai pesan ketuhanan. Ini kerana lagu ini menjelaskan bahawa dalam setiap kesusahan dan setiap yang kita lakukan, kadangkala kita lalai dan kita rasa seperti kita perlu bergantung pada seseorang manusia.
“Dalam lagu ini manusia yang dimaksudkan itu adalah seorang lelaki harapan watak wanita utama tersebut. Namun kala dia sedar bahawa lelaki itu juga punya nafsu dan mampu lalai dan alpa, dia akan sedar satu-satunya tempat bergantung adalah Allah Taala dan bukan manusia biasa,” katanya.
Sementara itu, Liza berharap agar lagu terbaharunya itu mendapat sambutan dan mampu memberikan impak kepada pendengar, terutamanya peminat.
Perisai Cinta boleh dinikmati melalui seluruh platform digital dinikmati melalui semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music sejak 6 September lalu. -UTUSAN