Perhilitan ‘buru’ buaya, letak tanda amaran di Tasik Seksyen 7 - Utusan Malaysia

Perhilitan ‘buru’ buaya, letak tanda amaran di Tasik Seksyen 7

Buaya Tasik Seksyen 7
TANGKAP layar daripada video tular yang memaparkan seekor buaya dengan panjang lebih satu meter kelihatan berada dekat tebing Tasik Seksyen 7, di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor memburu seekor buaya tembaga yang ditemui oleh orang awam dekat tebing Tasik Seksyen 7, di sini, semalam untuk ditangkap dan dipindahkan ke tempat lain.

Justeru, jabatan itu melakukan pemantauan ketat terhadap kawasan rekreasi tersebut bagi mengesan pergerakan reptilia berkenaan bagi mengatasi masalah ancaman kepada orang awam.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya sedang memantau rapi lokasi itu dan, operasi tangkapan pemindahan akan dilakukan bergantung kepada penilaian dan keadaan semasa di lokasi berkenaan.

“Kami setakat ini belum memasang jerat atau perangkap dan ia akan dibuat jika berlaku ancaman oleh buaya itu. Namun, kami akan memfokuskan operasi pemindahan dan satu papan tanda amaran akan diletakkan di tasik tersebut petang ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pengunjung sekitar itu diingatkan supaya tidak mendekati kawasan di tebing tasik susulan tular kemunculan buaya tersebut.

Reptilia dianggarkan sepanjang lebih satu meter itu berkemungkinan sesat ketika hujan lebat hingga menyebabkan banjir kilat, baru-baru ini.

Tinjauan mendapati Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) turut telah memasang pita keselamatan dan tali penghadang di tepi tasik berkenaan.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Adib menambah, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci termasuk mengenal pasti saiz sebenar reptilia berkenaan.

“Perbincangan dijalankan dengan MBSA bagi mengenalpasti tindakan yang perlu dijalankan bagi menjamin keselamatan awam. Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan kekal berada pada jarak yang selamat ketika beriadah di kawasan berkenaan,” ujarnyan

Selain itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan supaya menyalurkannya kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my.

Pada 2019 lalu, penduduk Shah Alam turut digemparkan dengan kehadiran seekor anak buaya tembaga di Tasik Shah Alam, Seksyen 14 di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN