KUBANG PASU: Anak kepada Sabari Baharom, 62, yang disyaki dibunuh menyifatkan perbuatan terhadap bapanya sebagai keterlaluan apabila mangsa diikat dan dicampak ke dalam sungai.
Muhammad Amir Hakimi, 25, mendakwa, dia juga mengenali suspek yang sudah ditahan polis itu setelah mengaku melakukan perbuatan terbabit terhadap Sabari.
Menurutnya, salah seorang suspek terbabit merupakan kontraktor yang sedang melakukan kerja-kerja membina rumah jiran yang terletak di hadapan rumah bapanya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang di Baling.
“Perbuatan dia terhadap ayah ini keterlaluan bagi saya sebab ayah sangat baik dengannya, saya hilang kata-kata apabila dapat tahu dia sanggup buang ayah sebegitu rupa.
“Dia selalu ke rumah ayah malam-malam minta buah belimbing dan ayah tak pernah minta duit dengan dia. Bukan setakat dia, semua orang yang datang makan di rumah ayah tak ada minta apa-apa pun walaupun dia baru empat ke lima bulan buat projek ubah suai rumah di situ,” katanya.
Muhammad Amir Hakimi yang merupakan anak bongsu mangsa ditemui ketika hadir ke lokasi pencarian Sabari yang dipercayai dicampak ke dalam Sungai Padang Terap di Kampung Empa, Derang di sini.
Terdahulu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun itu ditahan pada Jumaat lalu selepas mengaku mencampak mangsa ke sungai dalam keadaan tangan diikat dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat.
Fisol berkata, kes yang disiasat sebagai orang hilang sebelum ini berjaya diselesaikan dan siasatan lanjut kini dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sementara itu, menurut Muhammad Amir Hakimi, bapanya seorang yang cepat mesra dan mudah berkawan walaupun dengan sesiapa sahaja.
Ujarnya, suspek yang ditahan polis itu juga dipercayai bukan berasal dari Baling dan hanya datang ke daerah itu untuk membina rumah pelanggannya.
“Kita tidak tahu dia ada niat jahat, tetapi apa-apa pun saya berharap agar jasad ayah dijumpai segera. Saya dan dua kakak juga akan membuat solat hajat lagi dan berdoa agar jasad ayah ditemui,” katanya.
Akhbar sebelum ini melaporkan Sabari hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari. Kereta Sabari kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik. – UTUSAN