Perak sasar 28 emas, kedudukan tiga teratas Para Sukma - Utusan Malaysia

Perak sasar 28 emas, kedudukan tiga teratas Para Sukma

KHAIRUDIN Abu Hanipah (tengah) beramah mesra bersama atlet Para Sukma Perak pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Para Sukma di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak optimis terhadap kemampuan 93 atlet yang mewakili negeri itu pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak yang bermula Ahad ini hingga 28 September depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, kontinjen Para Sukma Perak diyakini mampu memenuhi sasaran 28 pingat emas dan kedudukan tiga teratas melalui sembilan acara yang disertai pada kejohanan tersebut.

Katanya, antara sukan yang menjadi tumpuan dan berpotensi menyumbang pingat emas ialah olahraga, powerlifting, boling dan memanah.

“Sasaran 28 pingat emas yang perlu diperoleh kontinjen Para Sukma Perak pada kejohanan kali ini akan dapat memperbaiki pencapaian pada temasya yang lalu dengan kutipan 25 pingat emas.

“Kita juga mengharapkan Perak berada pada kedudukan tiga terbaik. Semoga semua atlet dapat memenuhi sasaran ditetapkan menerusi sokongan serta dorongan pelbagai pihak,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Para Sukma, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perak, Nor Azah Ahmad Dahalan yang dilantik sebagai Chef De Mission dan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebagai motivasi kepada para atlet, kerajaan negeri turut berbesar hati memberikan tambahan belanja poket tunai secara ‘One-Off’ berjumlah RM400 manakala pegawai sebanyak RM800 setiap orang.

Malah katanya, tambahan insentif kewangan juga diberikan kepada atlet yang meraih pingat bagi acara sukan individu iaitu RM300 untuk pemenang pingat emas, RM200 untuk perak dan RM100 untuk gangsa.

“Bagi acara berpasukan pula, setiap seorang atlet akan diberikan RM150 sekiranya meraih emas manakala RM100 dan RM50 untuk perak dan gangsa.

“Insentif itu akan kita serahkan terus, sebaik sahaja selesai acara penyampaian hadiah yang dimenangi,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga meneruskan tradisi pemberian insentif seperti Sukma iaitu pemenang pingat emas menerima RM5,000 manakala RM3,000 dan RM1,000 diberikan kepada pemenang perak dan gangsa.

Pada edisi Para Sukma 2022 di Kuala Lumpur, Perak berada pada kedudukan kelima dengan pungutan 25 pingat emas, 15 perak dan 14 gangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN