Perak nafi lulus RM30 juta pembangunan Kampung Baru Cina - Utusan Malaysia

Perak nafi lulus RM30 juta pembangunan Kampung Baru Cina

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri Perak menafikan dakwaan meluluskan peruntukan RM30 juta bagi tujuan pembangunan Kampung Baru Cina di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kenyataan oleh seorang aktivis NGO yang mengeluarkan dakwaan itu dalam satu suatu klip video merupakan satu pembohongan.

Menurutnya, peruntukan tersebut adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kampung baru Cina termasuk menaik taraf kemudahan seperti jalan dan longkang.

“Merujuk kepada suatu klip video memaparkan kenyataan seorang aktivis NGO yang mengeluarkan kenyataan berbaur pembohongan kononnya kerajaan negeri Perak pada tahun lalu telah meluluskan RM30 juta bagi tujuan pembangunan Kampung Baru Cina di negeri ini.

“Lebih teruk lagi, aktivis berkenaan ketika berkongsi pentas bersama pimpinan parti politik pembangkang, mereka-reka cerita kononnya kerajaan negeri Perak meluluskan peruntukan tersebut selepas menerima desakan politik.

“Kerajaan negeri Perak tidak pernah meluluskan peruntukan seperti didakwa, sebaliknya ia adalah inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal kampung baru Cina termasuk menaik taraf kemudahan seperti jalan dan longkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Saarani, amat dikesali apabila aktivis berkenaan membuat kenyataan di pentas politik dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang sangat terpesong sehingga mengundang salah tanggapan awam  terhadap kerajaan negeri Perak.

“Paling menggusarkan apabila sebahagian netizen menelan bulat-bulat kenyataan yang dibuat sehingga melemparkan bermacam persepsi negatif dan komen jelik lalu mengakibatkan perdebatan bermotif kaum di laman sosial,” katanya.

Saarani berkata, untuk rekod, jika KPKT diberi tanggungjawab membangunkan infrastrukur kampung-kampung baru Cina, Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pula berperanan membangunkan kemudahan kawasan luar bandar.

Menurutnya, pada tahun 2023 misalnya, kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2.55 bilion bagi menyediakan pelbagai kemudahan di kawasan desa termasuk pembinaan jalan baharu, bekalan air dan elektrik serta menaiktaraf jambatan dan membaik pulih jalan rosak.

“Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan wacana dan perbincangan sihat, tetapi biarlah ia dilakukan atas prinsip kebenaran, bukannya dengan membuat ulasan secara membuta tuli dengan memesong fakta atau mereka-reka cerita untuk menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN