Perak mahu laksana sekatan luar negara terhadap peminjam degil - Utusan Malaysia

Perak mahu laksana sekatan luar negara terhadap peminjam degil

KHAIRUDIN Abu Hanipah beramah mesra dengan pelajar pada program Politeknik Ungku Omar (PUO) Open Day and Food Festival 2024 di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sekatan ke luar negara akan diusahakan oleh kerajaan negeri Perak untuk dimulakan pada Januari 2025 terhadap mereka yang degil tidak membuat bayaran Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, usaha akan membabitkan kerjasama Jabatan Imigresen dengan harapan peminjam melangsaikan hutang masing-masing.

Katanya, bayaran itu penting kerana duit diperolehi akan dikitar semula untuk diagihkan kepada mereka yang mahu membuat pinjaman.

“Ada dalam kalangan mereka (peminjam) yang telah melepasi tempoh pengajian lima hingga 10 tahun, tetapi masih tidak mahu membayar. Kerana duit ini adalah rolling (pusingan dana).

“Bermula Januari 2023, kerajaan negeri tidak lagi memberi peruntukan untuk tabung pinjaman pengajian tinggi. Kita akan gunakan duit hasil daripada bayaran pinjaman oleh peminjam terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Politeknik Ungku Omar (PUO) Open Day and Food Festival 2024 di sini hari ini.

Khairudin berkata, setakat 31 Disember 2023 tunggakan hutang pinjaman yang tidak dibayar itu berjumlah RM16.83 juta melibatkan seramai 1,857 peminjam.

“Kita mahu mereka lebih bertanggungjawab kerana duit ini ingin digunakan oleh orang lain yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, ada kalangan peminjam sudah mempunyai pekerjaan namun tidak membuat bayaran.

Beliau menjelaskan beberapa tindakan lain juga telah dibuat termasuk mengeluarkan surat arahan bayaran balik, bil tuntutan pertama dan kedua, kaedah pemotongan gaji kepada mereka yang bekerja dalam sektor awam selain cadangan menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN