IPOH: Perak FC meraih kemenangan pertama di tempat sendiri dalam saingan Liga Super 2024/2025 apabila mengalahkan Kuala Lumpur City 1-0 di Stadium Perak hari ini.
Jaringan Luka Milunovic pada minit ke-61 mencukupi buat The Bos Gaurus memastikan tiga mata di laman sendiri.
Luka mudah menyudahkan hantaran silang Norasfar Fikri untuk menceriakan lebih 2,000 penonton.
Jangkaan Kuala Lumpur City akan mudah memenangi perlawanan itu meleset apabila anak buah Mohd. Yusri Che Lah berjaya menyaingi pasukan pelawat.
Kuala Lumpur City yang membaham Kedah FC 5-0 sebelum ini, gagal mengulangi persembahan seperti mana ketika menang besar ke atas skuad Sang Kenari.
Keadaan bertambah sukar berikutan ketiadaan Kapten skuad wargakota, Paulo Josue yang tidak sihat.
Apapun Perak FC berhak untuk meraih kemenangannya di tempat sendiri untuk skuad Mohd. Yusri melonjak ke kedudukan ketujuh liga dengan 12 mata. – UTUSAN