Perak anjur 'mini Sukma', optimumkan prasarana sukan negeri - Utusan Malaysia

Perak anjur ‘mini Sukma’, optimumkan prasarana sukan negeri

HOWARD Lee (depan, empat dari kanan) bersama wakil-wakil persatuan sukan negeri semasa sidang akhbar penganjuran 2nd Junior Development Sports Carnival 2024 di Ipoh. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak akan menganjurkan ‘mini Sukma’ pada 26 dan 27 Oktober ini bagi mencungkil bakat dalam beberapa jenis sukan terutama sukan tempur.

Penganjuran tersebut, 2nd Junior Development Sports Carnival 2024 itu merupakan penganjuran kali kedua setelah yang pertama diadakan pada tahun 2023.

Menurut Ahli Parlimen Ipoh Timor, Howard Lee yang juga merangkap pengerusi jawatankuasa penganjuran, sukan tempur yang dipertandingkan ialah silat, wusyu, silambam, karate dan taekwondo.

Selain itu, sukan tenis, ping pong, skuasy dan hoki juga ditambah dalam penganjuran kali ini.

Jelasnya, semua pertandingan akan melibatkan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah yang dijangka mendapat lebih 1,800 peserta dari seluruh negeri Perak.

Beliau menggariskan objektif penganjuran yang dianggapnya sebagai ‘mini sukma’ itu, adalah untuk mewujudkan ekosistem sukan kepada peringkat akar umbi serta memupuk perpaduan dalam masyarakat.

“Ia juga adalah untuk meningkatkan kesedaran rakyat khususnya ibu bapa bahawa sukan ini bukan sahaja sekadar untuk bermain, malah boleh dijadikan kerjaya dan satu bentuk ekonomi,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Atlet yang akan bertanding adalah menerusi persatuan-persatuan sukan negeri dan mereka yang berminat boleh berhubung dengan persatuan terbabit.

Pihak penganjur turut melihat kejohanan itu juga adalah untuk mengoptimumkan pelbagai prasarana sukan negeri selain melibatkan golongan awal usia terhadap sukan terutama yang boleh menyumbang kepada pingat di peringkat dalam dan luar negara.

Howard Lee berkata, rakan penganjur pertandingan juga terdiri daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN