Penyerahan dokumen kes pengabaian Zayn Rayyan dikemas kini pagi ini

Penyerahan dokumen kes pengabaian Zayn Rayyan dikemas kini pagi ini

ZAYN RAYYAN
ALLAHYARHAM ZAYN RAYYAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Mahkamah Sesyen di sini yang bersidang pagi ini akan dimaklumkan perkembangan penyerahan baki dokumen perbicaraan yang akan digunakan pada perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Prosiding sebutan pada 26 Julai lalu dimaklumkan,  pihak pendakwaan sudah menyerahkan sebahagian besar dokumen kepada pasukan pembelaan temasuk pernyataan yang direkodkan daripada ibu bapa kanak-kanak itu beserta gambar-gambar di tempat kejadian.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dituduh mengabaikan anak mereka di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Bagaimanapun, pihak pembelaan masih menunggu laporan forensik dan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan. Status penyerahan dokumen itu akan dimaklumkan pada sesi sebutan kes di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh pagi ini.

Mahkamah turut menunggu perkembangan pembetulan nama Zayn Rayyan ekoran permohonan pihak pembelaan untuk meminda butiran pada sijil kelahirannya dengan memasukkan nama Zaim Ikhwan sebagai bapa kanak-kanak berkenaan.

Sebelum ini, peguam Fahmi Abd. Moin yang mewakili pasangan tersebut berkata, sijil kelahiran baharu telah dikeluarkan dan diterima pada 4 Julai lalu yang mana nama kanak-kanak itu kini ialah Zayn Rayyan bin Zaim Ikhwan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar ketika itu mengesahkan telah menerima salinan sijil lahir berkenaan ketika prosiding kes dan akan memaklumkan kepada mahkamah jika terdapat pindaan nama mangsa dalam kertas pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 29 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka yang berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN