Penyelia restoran rasuah pegawai Imigresen didenda RM40,000 - Utusan Malaysia

Penyelia restoran rasuah pegawai Imigresen didenda RM40,000

HENG Siou Wei (kanan) mengaku bersalah memberi rasuah kepada pegawai Imigresen ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penyelia sebuah restoran dikenakan hukuman denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan memberi rasuah kepada pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), semalam.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Heng Siou Wei, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Tertuduh turut berhadapan hukuman penjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah turut memerintahkan wang rasuah berjumlah RM15,000 dilucut hak kepada kerajaan Malaysia di bawah Seksyen 40(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah memberi suatu suapan iaitu wang tunai RM15,000 kepada seorang pegawai kanan berusia 50 tahun yang bertugas di Imigresen Perak.

Suapan diberikan tertuduh itu sebagai balasan bagi penjawat awam berkenaan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap pekerja-pekerjanya yang tidak memiliki sebarang pas yang sah untuk berada di Malaysia di bawah kesalahan Seksyen 6 (1) ( c ) Akta Imigresen 1959/63 dan melanggar syarat pas atau permit di bawah Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 bersangkutan dengan laporan polis Teluk Intan/008765/24.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di pejabat Imigresen Perak di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Persiaran Meru Utama, Bandar Meru Raya di Ipoh pada pukul 3 pagi, 12 September 2024.

Pendakwaan terhadap wanita itu dibuat mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak sampai 10 tahun dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor dan Pegawai Pendakwa, Sharul Azuan Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN