Penunggang motosikal maut nahas enam kenderaan - Utusan Malaysia

Penunggang motosikal maut nahas enam kenderaan

KEADAAN motosikal Yamaha Y15ZR yang terlibat dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kelulut, Marang, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Seorang penunggang motosikal maut dalam nahas membabitkan enam kenderaan di Kilometer 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kelulut di sini, pukul 8 malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd. Razman Setapa, insiden melibatkan dua buah motosikal Yamaha Y15ZR, dua buah Perodua Myvi serta sebuah Proton Saga dan Toyota Hilux.

Beliau berkata, siasatan mendapati nahas berlaku setelah Proton Saga dari arah Dungun dipandu lelaki warga emas tidak sempat mengelak Toyota Hilux yang mengundur dari sebuah kedai makan.

Mohd. Razman menjelaskan, warga emas berusia 76 tahun itu terlanggar bahagian belakang Toyota Hilux lalu terbabas ke laluan bertentangan dan terlanggar empat kenderaan lain itu.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal iaitu lelaki tempatan berusia 58 tahun menghala ke arah Kuantan mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Seorang lagi penunggang motosikal Yamaha Y15ZR dan pemandu serta penumpang Perodua Myvi pula dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk diberikan rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta melaporkan kepada polis bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd. Razman turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya terutama dalam tempoh cuti panjang ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN