PENSYARAH Kolej Profesional Mara (KPM) Melaka, Abdullah Long, 36, dinobatkan juara keseluruhan Pertandingan Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan 2024 merebut Piala Pusingan Yang Dipertua Negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh baru-baru ini.
Pidato bertajuk ‘Rukun Negara dan Islam Berpisah Tiada’ menobatkannya selaku juara kategori awam meraih hadiah wang tunai RM3,000, piala iringan dan sijil penyertaan.
Dia yang menetap di Serkam, Jasin turut menerima Piala Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia selaku juara keseluruhan.
Abdullah berkata, kejayaan itu adalah yang kedua diraihnya selepas memenangi Pertandingan Pidato Kenegaraan peringkat negeri sebelum ini.
“Sejak dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), saya meminati bidang pidato walaupun di peringkat sekolah saya adalah seorang pendebat.
“Saya rasa syukur dipilih sebagai juara kategori awam dan juara keseluruhan. Kejayaan ini juga atas dorongan isteri, anak-anak, rakan pensyarah dan pelajar,” katanya kepada Utusan Pelajar. – UTUSAN