Penoreh getah didakwa tetak warga emas diarah jalani pemeriksaan psikiatri - Utusan Malaysia

Penoreh getah didakwa tetak warga emas diarah jalani pemeriksaan psikiatri

MUHAMMAD Suhardi Din didakwa menetak seorang lelaki warga emas dengan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Gerik minggu lalu ketika dituduh di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Penoreh getah yang didakwa menetak seorang lelaki warga emas dengan parang dalam kejadian di sebuah rumah di Gerik minggu lalu, diarahkan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri.

Hakim Nabisha Ibrahim mengeluarkan arahan tersebut selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni ke atas tertuduh, Muhammad Suhardi Din, 54, dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Yan Ni membuat permohonan tersebut mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar untuk menjalani pemeriksaan mental.

“Permohonan untuk merujuk tertuduh menjalani pemeriksaan mental selepas pegawai penyiasat memaklumkan lelaki itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah sepanjang siasatan dijalankan.

“Malah, status kesihatan mental lelaki itu juga dipercayai tidak sihat,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Suhardi yang tidak diwakili peguam itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Omar Besar, 68, menggunakan sebilah parang.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Seri Tasik Ganda, Temenggor dalam daerah Gerik, pada pukul 3.20 petang, 27 Ogos 2024.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan di Ipoh.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 1 Oktober depan di Mahkamah Seksyen Kuala Kangsar.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga emas mengalami luka kesan tetakan dan patah tulang lengan kiri akibat libasan parang oleh seorang lelaki yang juga penduduk kampung berkenaan.

Berikutan itu, tangkapan dibuat terhadap suspek dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN