Penjawat awam antara 10 individu ditahan, dadah RM2 juta dirampas

Penjawat awam antara 10 individu ditahan, dadah RM2 juta dirampas

Pelbagai jenis dadah terdiri daripada syabu (61g), ganja (233g) dan pil erimin 5 (13g) serta alat penimbang digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Satu sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang dan Johor Bahru, Johor dipercayai didalangi seorang penjawat awam, tumpas selepas 10 individu diberkas baru-baru ini.

Penahanan itu dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menerusi 10 siri serbuan dalam dua operasi berasingan dikenali Op Telomian, di Lembah Klang dan Op Tosa di Johor Bahru pada Khamis dan Jumaat lalu.

Mereka ditahan termasuk tiga wanita dengan dua daripada suspek adalah warga Thailand.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, menerusi dua operasi itu, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2 juta turut dirampas.

Menurut beliau, dalam Ops Telomian, seramai enam suspek ditahan termasuk dalang utama sindiket yang juga seorang penjawat awam.

“Pada mulanya, tiga lelaki termasuk seorang warga Thailand berusia 27, 36 dan 52 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan ke atas tiga kenderaan milik ketiga-tiga suspek menemukan sejumlah dadah jenis syabu dan heroin.

“Dalam kenderaan pertama, kita menemui 20.46 kilogram (kg) syabu, di kenderaan kedua kita menemukan 24 gram (g) heroin dan pada kenderaan ketiga, kita menemukan 30.46kg syabu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan seterusnya dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Cheras dan menahan seorang wanita Thailand disyaki ahli sindiket.

“Dalam serbuan kelima di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, kita tahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun.

“Hasil pemeriksaan di rumah itu, kita menjumpai pelbagai jenis dadah terdiri daripada syabu (61g), ganja (233g) dan pil erimin 5 (13g) serta alat penimbang digital,” jelasnya.

Beliau menambah, serbuan keenam dibuat di sebuah kuarters kerajaan di Kajang, Selangor dan menangkap seorang lelaki Melayu berumur 38 tahun.

“Suspek adalah penjawat awam yang dipercayai berperanan sebagai dalang utama sindiket pengedaran dadah ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi Op Tosa, Kok Chin berkata, empat suspek termasuk seorang wanita tempatan berusia antara 29 hingga 40 tahun ditahan dalam empat serbuan berasingan

“Penahanan membawa kepada tangkapan kepada seorang lelaki berusia 40 tahun di Taman Perdana selepas pemeriksaan menemukan 125g dadah jenis syabu dalam beg yang diletakkan dalam bakul motosikalnya.

“Pemeriksaan lanjut di sebuah pangsapuri di lokasi sama menemukan syabu seberat 3.98kg, heroin (1.37kg) dan pil yaba (125g),” jelasnya.

Tambah beliau, serbuan turut dilakukan di sebuah apartmen di Taman Cahaya, Kota Puteri, Masai dan dua lelaki masing-masing berumur 29 dan 39 tahun, ditahan.

“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan Honda City, kita menemukan 499 bili pil erimin 5. Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah pangsapuri di Kempas Indah dan menahan seorang wanita berusia 39 tahun disyaki ahli sindiket itu,” katanya.

Kok Chin berkata, keseluruhan dadah yang dirampas dalam dua operasi ini adalah 55.08kg syabu, heroin (1.39kg), ganja (233g), pil yaba (125g) dan pil erimin 5 (112g) dianggarkan bernilai RM2 juta.

“Selain itu, kita menyita kenderaan serta wang tunai RM68,046 dan lima barang kemas dengan nilai keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM151,416.

“Modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan berkalan dadah dalam kuantiti yang besar, kemudian dijual secara kecil-kecilan kepada pengguna,” jelasnya.

Beliau memberitahu, sindiket ini yang aktif sejak awal tahun ini turut dipercayai mengedar dadah untuk pasaran dalam dan luar negara.

“Hasil ujian saringan urin menunjukkan empat suspek positif dadan jenis methamphetamine dan semakan mendapati tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau. JSJN sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Chin berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah menerusi hotline JSJN di talian 012- 208 7222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN