Peniaga simpan barang kawalan di premis tak berlesen berdepan tindakan

Peniaga simpan barang kawalan di premis tak berlesen berdepan tindakan

JEGAN (kanan) bersama beberapa anggota KPDN Pulau Pinang menunjukkan sebahagian daripada barang kawalan bersubsidi yang disita di sebuah rumah teres yang dijadikan stor di Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Seorang peniaga dikesan menyimpan barang kawalan di sebuah premis yang tidak dilesenkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini sejak lebih sebulan yang lalu.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, taktik tersebut berjaya dibongkar hasil maklumat yang diperoleh daripada risikan yang dijalankan sebelum itu.

Beliau berkata, peniaga tersebut yang juga seorang warga tempatan dikatakan mempunyai sebuah kedai runcit yang beroperasi sejak dua tahun yang lalu dan mempunyai lesen untuk menyimpan barang kawalan.

Bagaimanapun katanya, sebahagian daripada barang kawalan terbabit iaitu minyak masak polibeg satu kilogram (kg), gula dan tepung gandum disimpan di tempat lain iaitu sebuah rumah teres yang disewa berhampiran kedai berkenaan.

“Sehubungan itu, KPDN kini sedang menyiasat sama ada barang kawalan yang disimpan ini untuk dijual khusus kepada warga asing atau dijual di kedai-kedai runcit lain dengan dikenakan pembelian bersyarat dan sebagainya.

“Alasan peniaga tersebut menyimpan barang kawalan di tempat lain ialah kerana kedainya agak kecil. Apapun, siasatan lanjut akan diteruskan kerana perbuatan menyimpan barang kawalan di premis yang tidak dilesenkan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, Jegan berkata, dalam pemeriksaan yang dijalankan di rumah teres yang dijadikan stor untuk menyimpan barang kawalan terbabit, beberapa barang kawalan bersubsidi telah disita dan dirampas untuk tindakan lanjut.

Katanya, barangan tersebut ialah 986 kg minyak masak paket bersubsidi polibeg 1kg pelbagai jenama, 84 kg minyak botol pelbagai jenama, 372 kg gula pasir kasar 1kg pelbagai jenama serta 141.2 kg tepung gandum pelbagai jenama.

“Tindakan penyitaan juga dilakukan terhadap beberapa dokumen yang berkaitan bagi siasatan lanjut,” katanya yang memberitahu, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana pekerja yang menjaga premis terbabit iaitu seorang lelaki warga asing memberikan kerjasama yang baik dan nilai keseluruhan rampasan pula dianggarkan berjumlah RM 4,849.

Tambah Jegan, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan KPDN Pulau Pinang kini sedang giat melakukan pemantauan dan rondaan bagi mengekang ketirisan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

Pada masa yang sama, beliau turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus komited dan konsisten dalam menggerakkan tindakan penguatkuasaan serta tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya