Peniaga rugi RM9,750 ditipu katering palsu - Utusan Malaysia

Peniaga rugi RM9,750 ditipu katering palsu

AZLI MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga mengalami kerugian RM9,750 setelah tertipu dengan tempahan katering palsu sempena sambutan Hari Kebangsaan, 2 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai wakil Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wakaf Tapai.

Azli menjelaskan, suspek yang menghubungi mangsa melalui Whatsapp menawarkan tempahan perkhidmatan katering bagi majlis penutupan Sambutan Merdeka di JBPM Wakaf Tapai.

Beliau berkata, dalam perbualan itu, mangsa bersetuju dengan tawaran berkenaan dan telah diarahkan untuk membuat pemindahan wang ke dalam sebuah akaun bank bagi tujuan tempahan.

“Mangsa dengan rela hati memindahkan RM9,750 menerusi satu transaksi seperti yang diarahkan suspek termasuk bagi tempahan ‘goodies’ kononnya untuk sambutan majlis tersebut.

“Setelah memindahkan wang, mangsa cuba menghubungi suspek namun taliannya disekat sebelum semakan dengan JBPM mendapati agensi berkenaan tidak terlibat dengan tawaran itu.

“Mangsa yang merasakan dirinya diperdaya kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu pada 4 September lalu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh berkenaan, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Kuala Terengganu menerima tiga laporan penipuan yang menggunakan modus operandi sama dengan kes berkenaan.

Katanya, semua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) kerana menipu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN