Peniaga kosmetik ditahan tipu pelaburan 'kutu' - Utusan Malaysia

Peniaga kosmetik ditahan tipu pelaburan ‘kutu’

ABDUL ROZAK MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seorang peniaga kosmetik ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam pelaburan ‘kutu’ sehingga mengakibatkan mangsa terlibat mengalami kerugian sebanyak RM151,945.00

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, suspek yang merupakan seorang wanita berumur 31 tahun ditangkap di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Nyireh, di sini, kira-kira pukul 10 malam tadi.

Menurut beliau, tangkapan itu dilakukan sejurus pihaknya menerima 17 aduan daripada mangsa-mangsa yang terlibat.

“Modus operandi yang digunakan oleh suspek dengan menawarkan pelaburan kutu yang memberi keuntungan besar memuat naik status pelaburan itu di WhatsApp untuk memperdayakan mangsa.

“Mangsa yang terlibat telah membuat bayaran ke dalam empat jenis akaun bank milik suspek, selain bayaran secara tunai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa terlibat mula merasa telah ditipu setelah tidak menerima bayaran keuntungan seperti dijanjikan dalam tempoh masa ditetapkan suspek.

Katanya, mangsa-mangsa terlibat kemudian tampil membuat laporan polis bagi tujuan siasatan lanjut.

Jelasnya lagi, siasatan awal mendapati suspek mengaku menawarkan pelaburan ‘kutu’ itu melalui status WhatsApp miliknya bermula dari April 2023 sehingga 17 September 2024.

Ujar Abdul Rozak, kebanyakan mangsa yang terlibat dalam pelaburan itu merupakan kenalan dan pelanggan perniagaan kosmetik suspek sendiri.

“Kes disiasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan pihak polis masih mengumpul bukti-bukti keterangan bagi tujuan pendakwaan,” ujarnya.

Abdul Rozak berkata, suspek telah ditahan reman selama dua hari bermula hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN