Pengikut GISB tinggal mesej amaran kepada pihak berkuasa - Utusan Malaysia

Pengikut GISB tinggal mesej amaran kepada pihak berkuasa

MESEJ amaran dipercayai ditinggalkan pengikut GISB di sebuah premis di pusat latihan kuda di Lembah Bidong, Setiu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sekumpulan pengikut Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings di sini dipercayai meninggalkan mesej amaran kepada pihak berkuasa susulan tindakan yang telah diambil terhadap organisasi itu.

Pesanan mengenai ancaman pada hari akhirat itu ditemui pihak berkuasa di dinding sebuah premus di pusat latihan kuda milik GISB di Lembah Bidong dekat sini dalam serbuan yang dilakukan semalam.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, berdasarkan maklumat awam, kumpulan pengikut itu telah menghilangkan diri sebelum serbuan dilakukan.

Menurutnya, pesanan yang ditulis di dinding itu adalah sebagai amaran kepada pihak berkuasa serta orang ramai berhubung pembalasan yang menanti di akhirat kelak.

“Tulisan itu memaparkan, musuh-musuh kau tunggu di akhirat kelak sana nanti. Yang kami hadapi ini di dunia.

“Di sana lagi dahsyat berlipat kali ganda yang kau buat sekarang ni. Ini zaman orang mudah terpengaruh dengan media sosial.

“Namun, ketika serbuan dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pusat latihan kuda di Bidong itu, mereka tidak menemui pemimpin dan ahli GISB kecuali tulisan di dinding tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Difahamkan, kumpulan tersebut menyewa pusat latihan kuda itu dengan harga RM8,000 sebulan dan memelihara 13 ekor kuda di lokasi tersebut.

Ditanya mengenai rumah amal yang menempatkan kanak-kanak pula, beliau berkata, tiada aduan diterima setakat ini.

“Bagaimanapun, kita akan terus melakukan pemantauan terhadap sebarang aktiviti mencurigakan yang melibatkan pengikut organisasi itu,” katanya.

Selain pusat latihan kuda, terdapat dua lagi premis perniagaan milik GISB di Terengganu iaitu sebuah restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak, Kuala Nerus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN