Pengerusi GISBH, isteri bersama 17 individu direman seminggu

Pengerusi GISBH, isteri bersama 17 individu direman seminggu

GISBH
Nasiruddin Mohd Ali dan isteri antara 19 individu yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dakwaan eksploitasi manusia termasuk pemerdagangan kanak-kanak. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengerusi syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri antara 19 individu yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dakwaan eksploitasi manusia termasuk pemerdagangan kanak-kanak.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin terhadap kesemua suspek berusia 25 hingga 65 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan tujuh wanita termasuk seorang yang dipercayai anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad.

Dalam prosiding itu, kesemua suspek tidak diwakili peguam dengan permohonan reman dibuat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan kesemua suspek dalam serbuan di sekitar Lembah Klang.

Mereka ditahan kira-kira pukul 5.40 pagi tadi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum ini, seramai 402 kanak-kanak yang diselamatkan polis dalam serbuan Op Global di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, seramai 10 kanak-kanak juga dihantar ke rumah perlindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mendapati mereka adalah Orang Kelainan Upaya (OKU) dan autisme.

Pecahan jumlah mangsa adalah 202 lelaki dan 190 perempuan. Proses saringan kesihatan telah dijalankan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seramai 159 individu telah ditangkap membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN