ALOR GAJAH: Seorang pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska) didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang bayi lelaki berusia lapan bulan, minggu lalu.
Tertuduh, Nor Afifah Abdullah Shuhaimi, 34, hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas seorang bayi lelaki, Muhammad Al Fateh Amri Mohd. Fikry Amri.
Kesalahan itu dilakukan antara pukul 7.30 pagi dan 8.30 pagi di Taska Pintar Anak Soleha Child Care Center, Taman Kelemak Utama dalam daerah Alor Gajah pada 6 September 2024.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau dipenjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika dijatuhi hukuman mati hendaklah disebat tidak kurang 12 kali mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka, Ahmad Sazali Omar tidak mencadangkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan memohon tarikh baharu untuk serahan laporan bedah siasat, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan kimia
Tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan tarikh 13 November depan untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, suasana hiba menyelubungi kamar mahkamah selepas tertuduh kelihatan sebak sebaik pertuduhan dibacakan sementara beberapa ahli keluarga wanita itu juga kelihatan sugul ketika sedang mengikuti prosiding.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Muhammad Al Fateh Amri maut akibat lemas di taska berkenaan.
Bapa mangsa, Mejar Mohd. Fikry Amri Abdul Halim, 39, yang membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendakwa tertuduh bertindak membedung, menyumbat botol susu, menutup dengan kain dan menekup anaknya menggunakan bantal. – UTUSAN