SUNGAI PETANI: Inisiatif pengasingan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya kini dalam proses dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Kajian Komparatif dan Jawatankuasa Teknikal yang melakukan kajian itu.
Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh berkata, pasukan tersebut juga sedang mengenal pasti model pelaksanaan yang sesuai di negara ini susulan kajian empirikal yang dilakukan di beberapa buah negara.
“Peringkatnya masih dalam proses kajian, pasukan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) turut serta dalam komuniti ini dan mereka sedang menjalankan kajian lagi.
“Mereka juga telah berkunjung ke beberapa buah negara dan ia dalam proses untuk dimuktamadkan, cuma dari segi jangka masa itu saya tak pasti kerana ia berada di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEU) Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya selepas Program Santuni Madani di Program Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu, di sini, semalam.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif pengasingan kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya akan dilaksanakan secara berfasa selama dua tahun melalui kajian empirikal di Kanada, Australia dan United Kingdom (UK).
Beliau berkata, pelaksanaan kajian itu sudah dipersetujui Jemaah Menteri pada 31 Januari lalu yang dipantau oleh kedua-dua jawatankuasa tersebut.
Menurut Azalina, sebagai negara yang mempunyai pelbagai undang-undang, kerajaan memerlukan lebih banyak masa untuk melakukan kajian menyeluruh dan mendalam supaya keputusan yang dibuat tidak berubah kemudian hari.
Menerusi Fasa Pertama, Jawatankuasa Kajian Komparatif sedang menjalankan kajian ke atas beberapa negara bagi meneliti dan merangka model yang paling sesuai dalam konteks Malaysia.
Fasa Kedua pula melibatkan Jawatankuasa Teknikal yang akan meneliti secara komprehensif implikasi perundangan, perjawatan dan kewangan sebelum menyediakan Laporan Interim untuk pertimbangan Jemaah Menteri.
Dalam Fasa Ketiga pula membabitkan sesi libat urus bersama dengan kerajaan negeri Sabah dan Sarawak serta pihak berkepentingan lain termasuk agensi penguatkuasaan. – UTUSAN