Pengarah syarikat mengaku tak bersalah pecah amanah RM47,000

Pengarah syarikat mengaku tak bersalah pecah amanah RM47,000

BRANDON Siow Chow Chen (dua dari kiri) ketika tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, hari ini.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pengarah syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 11 pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah hampir RM47,000, tahun lepas.

Tertuduh, Brandon Siow Chow Chen, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Mengikut kesemua pertuduhan, dia didakwa telah melakukan pecah amanah dana sebuah syarikat berjumlah RM46,990 untuk kegunaan sendiri.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Syarikat Pr En Multi Coat di Jalan Raja Uda antara 20 Jun tahun lalu hingga 7 Mac tahun ini.

Dia didakwa mengikut Seskyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin yang mencadangkan jaminan sebanyak RM32,000 bagi kesemua pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam H.K. Hng yang mewakili tertuduh merayu agar jaminan minimum diberikan susulan anak guamnya perlu menanggung isteri, dan ibu bapanya, malah, sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan berlangsung.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu, pasport perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Oktober depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN