Pengarah JPJ kena tindakan jika kaunter banyak ditutup

Pengarah JPJ kena tindakan jika kaunter banyak ditutup

RXZ
AEDY Fadly Ramli bersalaman dengan pegawai dan anggota JPJ dalam lawatannya di Ibu Pejabat JPJ Selangor, di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/NURUL NAJWA HASRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengarah dan Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara akan dikenakan tindakan jika membiarkan kaunter hadapan kurang dibuka kepada orang awam.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan, perkara itu menjadi fokus utama pihaknya dalam menambah baik sistem penyampaian sedia ada.

Malah, ia turut menjadi tumpuan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang mahu lima kaunter dibuka dan bukannya hanya dua.

“JPJ sebagai jabatan kerajaan yang sudah berusia 78 tahun ini sepatutnya telah matang dan mengetahui apa yang diperlukan orang awam.

“Justeru, mana-mana Pengarah JPJ negeri dan ketua cawangan yang tidak menjalankan pengurusan kaunter itu dengan baik, mereka akan dikenakan tindakan,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Amanat Ketua Pengarah di Pejabat JPJ Selangor, semalam.

JPJ sebelum ini dilapor akan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan di kaunter bertujuan mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu yang lama.

Antara penambahbaikan yang dilaksanakan adalah penyediaan pegawai pemudah cara atau JPJ Assist bagi membantu pelanggan melakukan urus niaga yang boleh dibuat secara dalam talian.

Selain itu, JPJ menggalakkan pelanggan memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ serta portal MySIKAP.

Dalam masa sama, penambahbaikan Sistem JPJeQ juga dilaksanakan untuk membolehkan pelanggan mendapatkan nombor giliran melalui imbasan Kod QR dan menunggu di mana-mana sahaja sehingga nombor mereka dipanggil.

Dalam pada itu, Aedy Fadly memberitahu, beliau bersama pengarah-pengarah di ibu pejabat akan melakukan lawatan mengejut menerusi penyamaran bagi melihat sendiri apa dilakukan di semua JPJ negeri.

“Saya tidak bimbang mengenai operasi lain kerana ada pasukan yang bagus di HQ (ibu pejabat) dan berharap negeri juga sama.

“Selepas ini saya mungkin akan turun melakukan lawatan mengejut dengan memakai topi, berkaca mata dan berseluar jeans lawat di setiap negeri,” ujarnya.

Aedy Fadly yang memegang pucuk pimpinan JPJ sejak 23 Julai lalu berkata, beliau berpuas hati dengan pelbagai tindakan dan inisiatif yang diperkenalkan jabatan berkenaan setakat ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN