Ketua Pengarah J-KOM, Mohd. Khairuddin ditamat perkhidmatan - Utusan Malaysia

Ketua Pengarah J-KOM, Mohd. Khairuddin ditamat perkhidmatan

DR. Mohd. Khairuddin Othman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang disandang Dr. Mohd. Khairuddin Othman sudah ditamatkan hanya enam bulan selepas dilantik dalam kedudukan itu.

Mohd. Khairuddin yang merupakan Setiausaha PKR Selangor mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu alasan ditamatkan daripada jawatan berkenaan.

Mohd. Khairuddin juga tidak menjelaskan tarikh beliau ditamatkan sebagai ketua pengarah J-KOM.

Beliau kemudian menyarankan media mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Komunikasi.

“Betul. Sudah ditamatkan. Saya bukan KP (Ketua Pengarah) lagi.

“Sebaiknya kalau dapat bertanya pada menteri,” katanya hari ini.

Mohd. Khairuddin dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada 1 Mac lalu menggantikan Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff yang meletak jawatan pada November tahun lalu.

Katanya, keputusan berkenaan dilakukan berikutan beliau menerima tawaran pekerjaan baharu dan bukan disebabkan tekanan oleh mana-mana pihak.

Mohammad Agus mengundang kontroversi selepas tular satu rakaman video perbualan lucah antara seorang lelaki yang dipanggil ‘Wahab’ dengan seseorang mirip Mohammad Agus dan tersebar di media sosial.

Lelaki itu dikenali sebagai Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, 33, bertugas sebagai Penolong Pegawai J-KOM.

Video berdurasi 3 minit 3 saat itu dikongsi Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard menerusi akaun aplikasi Tik Tok miliknya.

Menerusi rakaman video itu boleh didengar secara jelas perbualan sesama lelaki itu melalui panggilan video seperti pasangan kekasih yang sedang ‘memancing’ untuk melakukan hubungan intim.

Menjengah ruangan caption pada video berkenaan, Che’gu Bard mempersoal jika lelaki dalam video itu adalah Pengarah J-KOM lantikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan meletak jawatan.

Mohammad Agus dan Abdul Wahab kemudian bersama-sama membuat sidang akhbar pada 17 November lalu bagi menjelaskan isu tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN