Penganggur ditahan bersama ganja untuk kegunaan 131,000 penagih - Utusan Malaysia

Penganggur ditahan bersama ganja untuk kegunaan 131,000 penagih

PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang penganggur disyaki mengedar ganja seberat 65.6 kilogram (kg) yang dipercayai boleh digunakan kira-kira 131,370 penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ravindar Singh Sarban Singh berkata, penahanan dibuat selepas polis menyerbu sebuah unit kondominium di Cheras di sini yang menemukan ganja seberat 62.56 kg. 

“Serbuan dilakukan pada 5 September lalu sekitar pukul 9 malam dan menangkap seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai mengedar dadah.

“Serbuan kedua dilakukan di Segambut pada hari sama dan menemukan ganja seberat 3.12 kg.,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini. 

Menurutnya, suspek bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak awal tahun ini serta menjadikan kondominium mewah sebagai tempat pengedaran dadah bertujuan mengaburi dan menyukarkan daripada dikesan pihak berkuasa. 

Jelas Ravindar, siasatan awal pihaknya mendapati suspek menyewa kondominium di Segambut bagi tujuan penyimpanan dan membungkus semula dadah yang dibeli.

“Bekalan dadah dipercayai diperoleh daripada pengedar tempatan di Kuala Lumpur untuk pasaran di sekitar Lembah Klang. 

“Suspek tidak bekerja dan menjadikan aktiviti pengedaran dadah sebagai punca pendapatan utama,” katanya. 

Menurutnya, polis turut menemukan mesin vakum pengedap dan penimbang dalam serbuan kedua. 

“Kami merampas kesemua barangan termasuk sebuah Perodua Axia dan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM203,723. 

“Berdasarkan siasatan, suspek hanya menjual kepada pelanggan tetap setelah mendapat pesanan melalui panggilan telefon” katanya. 

Jelas beliau, suspek direman selama tujuh hari sehingga 12 September di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya